suria

Sepupu Tan Sri Robert Kuok Meninggal Dunia

JOHOR BAHARU: Tokoh terkenal pembangunan masyarakat di negeri Johor, Tan Sri Kuek Ho Yao meninggal dunia semalam pada usia 96 tahun.

Sepupu kepada Raja Gula Asia, Tan Sri Robert Kuok itu meninggal dunia pada 10.10 malam kerana jangkitan paru-paru. Beliau dimasukkan ke Hospital Pakar Johor 5 Okt.

Kuek telah mengabdikan diri dari sebahagian besar hayatnya kepada kerja-kerja amal dan juga pendidikan terutamanya di Johor Baharu.

Beliau pernah diculik dua kali - selama 66 hari bermula 24 Mei, 1984; dan selama 74 hari bermula 13 Jun, 1987.

Antara pemimpin yang memberi penghormatan terakhir kepada mendiang di kediamannya di Taman Maju Jaya di sini hari ini ialah Anggota Parlimen Johor Baharu Tan Sri Shahrir Samad; Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; dan Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong. Hishammuddin yang hadir bersama isterinya Tengku Marsilla Tengku Abdullah berkata mendiang telah menjadi sahabat kepada keluarganya sejak tiga generasi lalu.

"Kehilangan beliau akan dirasai ramai pihak kerana beliau seorang yang ikhlas, berani dan berdedikasi serta selalu menekankan kepentingan pendidikan dan pembangunan masyarakat di Johor Baharu," katanya.

Dr Wee pula berkata kali pertama beliau bertemu mendiang ialah ketika masih menuntut di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Katanya, mendiang merupakan pemimpin yang sangat berpengaruh tetapi sangat merendah diri.

Kuek pernah menyandang jawatan sebagai pengarah Sekolah Tinggi Foon Yew dan pengarah kesemua lima Sekolah Rendah Foon Yew.

Mendiang juga salah seorang pengasas Southern University College.

Mendiang meninggalkan dua anak lelaki, tiga perempuan dan 15 cucu.

Mayat Kuek akan diuruskan di krematorium di Taman Sutera, Perling, Rabu depan. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain