suria

Guru Kaunseling Mampu Cegah LGBT Di Sekolah

KUALA TERENGGANU:Guru kaunseling mampu menjadi petugas barisan hadapan bagi mencegah penyebaran fenomena Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) di kalangan pelajar.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata untuk tujuan tersebut, guru kaunseling mesti dilengkapi dengan pengetahuan dan pemahaman simptom LGBT untuk menawarkan nasihat untuk mana-mana pelajar yang terlibat.

"Guru kaunseling ini kalau mereka ada kemahiran, kefahaman secara umum memberi penerangan, motivasi, kesedaran, keinsafan dalam isu seperti ini mampu membantu pelajar di peringkat sekolah sebenarnya.

"Guru kaunseling mesti memahami perkara sendiri untuk memberi penjelasan serta membawa pelajar kembali ke jalan yang betul," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Keibubapaan dalam menangani LGBT peringkat Negeri Terengganu di Stadium Negeri di sini, Khamis.

Seminar sehari itu dianjurkan oleh Yayasan Guru Malaysia Berhad dan Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah-sekolah Putrajaya.

Katanya tanggungjawab mengekang simptom LGBT bukan terletak di bahu pihak tertentu sahaja tetapi ia perlu dilaksanakan bersama-sama untuk mencari pendekatan terbaik menangani isu ini.

Dr Mohd Puad juga menggesa para guru dan kaunselor untuk menyemai pengetahuan mengenai penggunaan internet di kalangan pelajar dengan cara yang betul kerana terdapat banyak laman web menyokong penyebaran gejala LGBT.

Mengenai seminar itu, beliau berkata ia bertujuan untuk memberi pendedahan kepada guru dan ibu bapa berhubung usaha pencegahan awal bagi menangani isu LGBT.

"Seminar ini tidak direka untuk mendiskriminasi kumpulan sedemikian tetapi untuk menyebarkan kesedaran yang lebih supaya ibu bapa akan mempunyai keberanian untuk menyatakan tentang perkara ini dengan anak-anak mereka," katanya.

Beliau yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno juga menyelar pihak tertentu yang mempolitikkan isu LGBT demi keuntungan politik mereka.

"Kebimbangan kita, pemimpin (pembangkang) dia melihat soal politik, mereka ini tidak melihat soal generasi negara bangsa yang kita nak bina. Tetapi mereka seolah-olah anggap ia peluang untuk mereka mendapat simpati dan meletakkan persepsi kita (kerajaan) ini ganas, tiada tamadun sedangkan kita bukanlah begitu," katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan PIBG Sekolah-sekolah Putrajaya, Datuk Sahlan Ismail berkata seminar di Terengganu adalah yang kelapan antara 12 seminar, dengan yang pertama bermula di Putrajaya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

14 Pati Ditahan Polis Marin

Artikel Lain