suria

Anwar Tidak Sensitif - Hasan Ali

KUALA LUMPUR: Kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa umat Islam 'mempunyai masalah dalam jiwa mereka' tidak sepatutnya keluar daripada mulut seseorang yang satu ketika dahulu pernah memimpin gerakan Islam, kata Presiden Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr Hasan Ali.

Beliau merujuk kepada artikel temu ramah Anwar bersama sebuah penerbitan British, 'The Scotsman', baru-baru ini yang mengandungi artikel tulisan Eddie Barnes bertajuk 'Eddie Barnes: Tough Challenge to Heal the Divides in Malaysia'.

Ia antara lain berbunyi: "On the violent reaction to the blasphemous video insulting Islam, he (Anwar) agrees there is a 'problem with the Muslim psyche...people are easily enraged and emotional'."

Bercakap pada sidang media mengenai perkara itu di sini, Hasan berkata: "Kenyataan seperti ini menggambarkan betapa tidak sensitifnya beliau terhadap komitmen masyarakat Islam yang bangun menentang sebarang bentuk penghinaan terhadap agama mereka.

"Lebih daripada itu, kenyataan itu seolah-olah memperkuat kenyataan sembarangan yang dilemparkan pimpinan DAP yang sememangnya difahami bahawa mereka jahil tentang Islam, apa lagi yang menyentuh soal akidah dan keimanan.

Hasan berkata beliau sangat bimbang jika itulah kefahaman yang dipegang Anwar dan pakatan pembangkang, bayangkan apa yang akan terjadi kepada Islam dan masyarakat Islam sekiranya mereka menerajui negara.

Filem yang menghina Nabi Muhammad SAW dan Islam itu (Innocence of Muslims) mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

Pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham sebelum ini dilapor mempersoal rancangan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin untuk menganjurkan protes terhadap klip video itu, dengan merumuskan sama ada umat Islam menghabiskan terlalu banyak masa dan tenaga mengenai isu itu.

Beliau telah memohon maaf berhubung kenyataan itu yang dibuat di laman Twitter.

Hasan berkata kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin pakatan pembangkang telah benar-benar merobek perasaan masyarakat Islam.

"Saya tidak nampak masyarakat Islam boleh mengharapkan sesuatu daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin lain dalam pakatan pembangkang untuk menjuarai isu-isu melibatkan maruah dan martabat Islam," katanya.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Cheras Datuk Syed Ali Al-Habshee mempersoal kenapa umat Islam tidak boleh menzahirkan kemarahan mereka.

"Kita (umat Islam) semua sayang dan kasihkan Nabi Muhammad. Apabila video sebegitu jahat ditayangkan, sudah pasti mereka akan marah dan sedih," katanya. BERNAMA

Artikel Lain