suria

Ahli Perniagaan Rugi Hampir RM1 Juta, Ditipu Urusan Jual Beli Diesel

IPOH: Seorang ahli perniagaan berusia 53 tahun kerugian hampir RM1 juta apabila ditipu oleh sekumpulan warga Indonesia dalam urusan jual beli 100,000 tan metrik diesel.

Ketua Polis Perak, Datuk Shukri Dahlan berkata, ahli perniagaan berkenaan membuat laporan polis pada 23 Ogos lepas setelah sebuah bank di sini mengesahkan bahawa draf bank bernilai RM925,000 yang diterimanya adalah palsu.

"Bertindak atas laporan mangsa dan risikan, kita membuat serbuan pada awal pagi tadi dan menahan lima lelaki warga Indonesia di sebuah hotel di sini yang dipercayai terlibat dalam kes berkenaan," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Beliau berkata, kesemua mereka yang ditahan berusia antara 25 dan 45 tahun serta memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara maksimum sepuluh tahun dan dengan sebat dan boleh didenda jika sabit kesalahan, katanya.

Dalam kes lain, Shukri berkata, anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial menahan dua lelaki warga Pakistan masing-masing berusia 22 dan 42 tahun serta seorang warga Lubnan berumur 31 tahun, antara 23 dan 25 Ogos lepas yang dipercayai terlibat dalam wang palsu matawang India (Rupee).

"Suspek datang ke Ipoh dan pergi ke sebuah premis pengurup wang berlesen untuk menukar wang palsu itu kepada Ringgit Malaysia. Apabila pengurup wang berkenaan mengesan wang yang dibawa suspek adalah wang palsu, beliau terus menghubungi polis," katanya.

Dua daripada suspek ditangkap semasa cuba menukar wang palsu di premis berkenaan dan selepas disoal siasat, tangkapan susulan dibuat terhadap seorang lagi suspek di Kuala Lumpur, katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas semua suspek, polis menemui 402 keping wang kertas 1000 Rupee, tiga buah telefon bimbit, sebuah beg berwarna hitam dan dua pasport Pakistan.

"Modus operandi yang digunakan adalah mereka akan ke premis pengurup wang berlesen dan menukar wang palsu matawang India kepada Ringgit Malaysia. Wang palsu yang digunakan suspek berkualiti tinggi dan mangsa sukar mengecam wang kertas palsu itu," katanya.

Katanya, kesemua mereka ditahan direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 489 C Kanun Keseksaan iaitu memiliki matawang kertas yang dibuat secara palsu atau pelancungan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun jika sabit kesalahan.

Shukri menasihati orang ramai terutama pengurup wang berlesen supaya berhati-hati semasa berurusan dengan pelanggan yang ingin menukar wang asing dan segera menghubungi polis sekiranya ada sebarang maklumat. - BERNAMA

Artikel Lain