suria

Menteri Hampir Jadi Wartawan 40 Tahun Lalu

KUALA LUMPUR: Tan Sri Nor Mohamed Yakcop hampir menjadi wartawan Bernama ketika beliau mencari pekerjaan lebih kurang 40 tahun lalu.

Ketika menjadi hos majlis berbuka puasa bersama kira-kira 250 petugas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia malam tadi, menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menceritakan bagaimana beliau pernah memohon kerja di akhbar The New Straits Times, Bernama dan Bank Negara Malaysia (BNM) selepas tamat tingkatan enam pada tahun 1968 di Pulau Pinang. Ketika itu beliau berumur 21 tahun.

"Tawaran pertama yang saya terima ialah daripada Bernama. Bernama ketika itu menawarkan saya jawatan wartawan kadet, dengan gaji sebanyak RM240, dicampur elaun mesin taip RM30 dan elaun pengangkutan RM30.

"NST pula menawarkan gaji serupa tapi jawatan yang diberi ialah pemberita, tak begitu glamor bunyinya. Wartawan kadet lebih glamor," katanya yang mengundang ketawa mereka yang hadir pada majlis itu.

Bagaimanapun minat untuk menyertai Bernama tidak menjadi kenyataan apabila beliau menerima tawaran daripada Bank Negara sebagai kerani dengan gaji yang lebih tinggi RM328.

Nor Mohamed kemudian menyertai Jabatan Sumber Manusia BNM yang sebelum itu dikenali sebagai Jabatan Kakitangan, sebagai petugas paling muda.

Pada masa itu, katanya, beliau perasan kerusi-kerusi di jabatan itu tidak ada tempat letak tangan, kecuali kerusi bosnya.

"Suatu hari saya tanya bos saya kenapa kerusi saya tiada tempat letak tangan. Jawapannya:'Saya pegawai, hang (awak) kerani'. Saya beritahu beliau yang saya tahu saya kerani tapi kenapa kerusi saya tiada tempat letak tangan. Beliau kemudian menjawab:'Hang kerani, tugas hang tulis, satu hari 8-9 jam hang tulis. Itulah peranan sebagai kerani. Saya pegawai, saya kena letak tangan saya di tempat letak tangan dan berfikir.

"Saya pun berfikir, saya sepatutnya terima tawaran kerja di Bernama dulu," katanya yang sekali lagi mengundang ketawa hadirin.

Hadir sama pada majlis berbuka puasa dan lawatan beliau ke agensi berita nasional itu ialah Pengerusi Bernama Datuk Abdul Rahman Sulaiman, Pengurus Besar Datuk Hasnul Hassan dan Ketua Pengarang Datuk Yong Soo Heong.

Nor Mohamed meluangkan masa sejam melawat bilik berita Bernama, studio dan bilik berita Bernama TV serta bilik berita Radio 24 sebelum berbuka puasa dan menunaikan solat Maghrib.

Beliau juga bercerita mengenai kemajuan kerjayanya di BNM yang bermula daripada seorang kerani hingga meningkat naik menjadi penasihat khas BNM, bertanggungawab menasihati gabenor BNM mengenai dasar kewangan pada 7 September 1998 hingga 23 April 2000.

Pada 15 Mei 2000, beliau dilantik sebagai penasihat khas ekonomi kepada Perdana Menteri Tun (ketika itu Datuk Seri) Dr Mahathir Mohamad. - BERNAMA

Artikel Lain