suria

Waspada Dengan Siaran, Terbitan Bahan Berkaitan Agama - Jamil Khir

SUNGAI PETANI: Langkah lebih berwaspada dalam mengeluarkan sebarang terbitan sama ada dalam bentuk cetakan atau elektronik yang berkaitan agama perlu diambil bagi mengelak daripada menyentuh sensitiviti mana-mana golongan masyarakat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata setiap penerbitan berkaitan agama khususnya Islam, harus mendapat kelulusan Majlis Agama terlebih dahulu dan tidak boleh disebarkan sesuka hati.

"Kita tidak boleh sakiti mana-mana kelompok masyarakat terutama yang menyentuh tentang agama. Kalau dapat jaga hal ini, kita akan dapat pelihara perpaduan dan hubungan sesama kaum.

"Mana-mana agama pun tidak membenarkan (penganutnya) menghina agama lain. Hal agama sangat sensitif," katanya kepada pemberita selepas Program Menjelang Hari Raya bersama Anak-anak Yatim, di sini, Sabtu.

Beliau mengulas tindakan guru dan pengusaha pusat tuisyen di Tangkak, Muar yang menimbulkan kontroversi apabila memaparkan karikatur menghina para sahabat Nabi Muhammad S.A.W. dalam nota ringkas yang diedarkan kepada pelajar baru-baru ini.

Jamil Khir berkata walaupun pihak terbabit telah membuat permohonan maaf secara terbuka, mereka perlu sedar apabila sesuatu pihak rasa terhina mereka akan bertindak balas dalam pelbagai cara.

"Kita tak boleh jangka dia (pihak yang rasa terhina) akan tampilkan marah mereka dalam bentuk apa, jadi dalam hal agama ni perlu berwaspada," katanya.

Terdahulu beliau menyampaikan sumbangan baju raya dan duit raya kepada kira-kira 300 anak yatim bagi menceriakan mereka sempena sambutan Hari Raya tidak lama lagi.

Sumbangan bernilai RM25,000 itu merupakan sumbangan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan badan korporat. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain