suria

Bapa Nayati Sertai Pasukan Khas Di Bawah KDN Perangi Jenayah

KUALA LUMPUR: Keluarga kepada kanak-kanak warga Belanda yang pernah diculik iaitu Nayati Moodliar tampil membantu untuk memerangi jenayah.

Bapa kanak-kanak itu, Shamelin, akan menjadi sebahagian daripada pasukan khas di bawah Kementerian Dalam Negeri bagi memberikan maklumat berkaitan dengan keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin berkata, pasukan khas itu meliputi beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), blogger dan pihak berkepentingan lain yang berminat dalam perkara tersebut.

“Sesiapa sahaja yang merasakan mereka boleh memberikan sumbangan dialu-alukan,” kata beliau di sini.

Beliau berkata, pasukan itu akan memfokuskan mengenai pemerdagangan kanak-kanak dan tiada kerakyatan.

Pasukan berkenaan akan diketuai oleh Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Jariah Mohd Said dan akan memulakan mesyuarat pada minggu depan.

Terdahulu, Hishammuddin mempengerusikan mesyuarat bersama ketua-ketua polis di Kuala Lumpur dan Putrajaya di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi di sini.

Nayati, 23, telah diculik selama beberapa hari pada Mei lalu sebelum dibebaskan selepas wang tebusan dibayar.

Empat lelaki kini sedang didakwa di mahkamah.

Hishammuddin turut mendedahkan bahawa beliau telah berhubung dengan keluarga Nayati sejak beberapa bulan.

Beliau berkata, kementerian akan mengadakan perbincangan mengenai jenayah terhadap wanita dan kanak-kanak serta jenayah siber dan jenayah serius.

Artikel Berikut

Adun Pelagus Selamat

Artikel Lain