suria

Anak Nekad Selamatkan Ibu Bapa Yang Terbakar

PEKAN: Seorang pelajar tingkatan empat bertindak berani apabila menyelamatkan ibu bapanya yang sedang terbakar dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Cenderawasih, Pekan, awal pagi Isnin.

Dalam kejadian 2.30 pagi itu, ibu kandung dan bapa tiri Mohd Amri Abu Bakar, 16, melecur teruk di seluruh tubuh selepas bilik tidur mereka terbakar.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pekan itu berkata beliau terhidu bau asap sebelum terdengar jeritan ibu bapanya.

"Ayah tiri saya, Abdul Karim Mohamad dan ibu saya, Saidah Talib kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA)," katanya.

Abdul Karim, 39, yang bekerja sendiri dan isterinya, Saidah, 35, dihantar oleh jiran tetangga ke Hospital Pekan kira-kira 3.30 pagi tadi sebelum dipindahkan ke HTAA.

Keadaan mereka dilapor agak kritikal.

Menceritakan detik cemas itu, Mohd Amri berkata beliau melihat kepulan asap dari bilik tidur kedua ibu bapanya, sebelum bertindak menendang pintu bilik berkenaan.

"Selepas menendang, saya lihat ayah sedang terbakar dari paras pinggang ke bawah, manakala ibu terbakar seluruh badan," katanya.

Dia kemudiannya membawa kedua-dua adiknya, Nurazalina Abu Bakar, 11 dan Noraini Abu Bakar, 5, yang tidur di ruang tamu, keluar dari rumah berkenaan.

Mohd Amri kemudiannya berlari ke dapur dan mengambil air di dalam baldi sebelum bertindak menyimbah air berkenaan ke atas kedua-dua ibu bapanya.

Beliau kemudian mengheret kedua-dua orang tuanya keluar dari bilik yang sedang terbakar itu sebelum dibantu jiran tetangga. Bilik yang terbakar itu berjaya dipadamkan.

Sementara itu, ketua kampung berkenaan Mohamad Karim berkata pasangan suami isteri itu sedang tidur ketika kejadian.

"Katil dan kelambu di bilik berkenaan dipercayai terbakar sebelum api menjilat tubuh mereka, punca kejadian tidak diketahui," katanya.

Sementara itu Pegawai Perhubungan Awam Bomba dan Penyelamat Pahang, Anuar Hassan berkata pihaknya baru sahaja dimaklumkan mengenai kejadian dan akan ke lokasi bagi menyiasat punca kebakaran. - BERNAMA

Artikel Lain