suria

Tunggakan Bayaran Bulanan Rumah Mesra Rakyat Kini EN11.7 Juta -SPNB

IPOH: Jumlah bayaran bulanan Rumah Mesra Rakyat (RMR)yang belum dijelaskan oleh 5,641 penerima kini mencecah RM11.7 juta dengan jumlah tertinggi dicatat Kelantan sebanyak RM2.43 juta.

Pengarah Urusan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) Datuk Dr Kamarul Rashdan Salleh berkata angka itu adalah jumlah terkumpul sejak tahun 2002. "Jumlah tunggakan ini adalah berdasarkan kepada kategori penerima yang tidak bayar jumlah bulanan lebih daripada tiga bulan dan menjangkau lebih setahun," katanya kepada pemberita selepas penyerahan surat tawaran dan kunci RMR 1Malaysia kawasan parlimen Ipoh Timur, di sini, Ahad.

Katanya dengan jumlah tunggakan itu SPNB mampu membina 181 unit lagi sekali gus dapat membantu pemohon yang masih belum menerima rumah.

"Sekiranya kita (SPNB) tak dapat duit itu, maka susah untuk kita bina Rumah Mesra Rakyat kerana duit itu bukan untuk keuntungan kita sebaliknya digunakan sebagai modal pusingan bagi membina rumah ini," katanya.

Kamarul Rashdan berkata turut mencatat tunggakan tinggi ialah Terengganu dengan RM1.9 juta, Kedah (RM1.6 juta) dan Perak (RM1 juta).

Katanya SPNB juga bersedia untuk mengurangkan bayaran bulanan atau menjadualkan semula bayaran bagi pemohon yang mempunyai alasan kukuh termasuk mereka yang menganggur dan tidak mampu menjelaskan bayaran tersebut.

"Bagi yang tidak mempunyai respons apabila surat peringatan dan tuntutan dihantar, kita tiada pilihan selain membawa kes itu ke mahkamah," katanya.

Untuk mengatasi masalah itu, SPNB katanya bekerjasama dengan wakil rakyat di setiap kawasan dalam menasihati penerima RMR agar membayar balik sebelum tindakan undang-undang dikenakan.

Mengenai majlis itu, beliau berkata program tersebut adalah adalah bukti komitmen kerajaan Barisan Nasional melalui SPNB dalam membantu rakyat mendapatkan rumah tanpa unsur pilih kasih.

"Contohnya di Kelantan, permohonan yang kita terima tahun ini sebanyak 6,265 orang, yang mana 4,196 kita telah luluskan dan rumah yang sedang dibina ialah 601 unit dan telah siap sebanyak 2,742 unit. "Bagi Selangor pula kita terima permohonan sebanyak 2,792, yang diluluskan ialah 1,706. Masih dalam pembinaan sebanyak 343 unit dan telah siap 937 unit manakala di Pulau Pinang sebanyak 515 permohonan, 301 lulus, sedang dibina 41 dan telah siap 146," katanya.

Sementara itu, beliau berkata dari tahun 2002 sehingga kini, sebanyak 25,871 pemohonan di seluruh negara masih belum diluluskan. Untuk tahun ini SPNB meluluskan 13,000 permohonan yang mana 5,951 unit sedang dibina dan 401 sudah siap, katanya. "Di kawasan Ipoh Timur, tahun ini seramai 47 pemohon. Kita telah meluluskan sebanyak 40 unit rumah dan daripada jumlah itu sebanyak 27 rumah telah siap," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain