Tiga Maut Nahas Empat Kenderaan Di Pekan

PEKAN: Tiga lelaki maut manakala dua yang lain cedera selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan empat buah kenderaan di Kilometer 61, Jalan Kuantan-Segamat, dekat sini malam Khamis.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Superitendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, dalam kejadian 9.45 malam itu, pemandu van, Talib Yahya, 54, dari Sungai Isap Damai, Kuantan, mati di tempat kejadian.

Katanya, pemandu lori tangki, K. Chalaparmal, 50, dari Desa Serindit, Kampung Jawa, Kuantan, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Muadzam Shah, Rompin.

Sementara seorang lagi yang maut ialah pemandu pacuan empat roda, Tang Wai Hoong, 48, dari Taman Desa Air Putih, Kuantan yang meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, katanya kepada pemberita di sini Jumaat.

Mohamed Fauzi berkata, seorang pemandu kereta yang masih belum dikenal pasti identitinya dan kelindan lori tangki tersebut, B. Sivasankaran, 28, cedera dan kini dirawat di HTAA.

Katanya, kejadian itu berlaku ketika pemandu van yang datang dari arah Segamat menuju ke Kuantan telah memotong beberapa buah kenderaan lalu bertembung dengan lori tangki itu.

"Dipercayai dia gagal masuk ke laluannya lalu bertembung dengan lori tangki yang datang dari arah bertentangan. Ekoran itu, lori terbabit hilang kawalan dan melambung ke atas sebuah pacuan empat roda di laluan menghala ke Kuantan," katanya.

Beliau berkata, lori tangki tersebut kemudiannya terbalik dan melintang di laluan menghala ke Kuantan menyebabkan sebuah kereta gagal mengelak dan merempuh kepala lori terbabit.

Katanya, ketika kejadian keadaan di jalan itu gelap kerana tiada lampu jalan. - BERNAMA

Artikel Lain