suria

Ali Hamsa Minta Penjawat Awam Tingkat Prestasi Kerja

KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang baru Datuk Dr Ali Hamsa meminta penjawat awam meningkatkan prestasi perkhidmatan bagi merakyatkan perkhidmatan awam kepada masyarakat di negara ini.

Beliau berkata penjawat awam merupakan golongan yang bertanggungjawab dalam menyampaikan segala tindakan dan dasar kerajaan serta menjadikan rakyat sebagai teras kepada segala gerak kerja yang dilakukan.

"Anggap diri kita (penjawat awam) sebagai rakyat kerana sudah pasti kita akan melaksanakan apa yang diamanahkan kerajaan dengan lebih komited.

"Mari kita (penjawat awam) merakyatkan perkhidmatan agar khalayak sasaran kita (rakyat) merasai segala pelan dan dasar yang kerajaan rancangkan untuk mereka," katanya pada majlis perasmian Kursus Diploma Pengurusan Awam (DPA) bil. 1/2012 di Institut Tadbir Awam Negara (INTAN), di sini Khamis.

Seramai 299 peserta menyertai DPA kali ini, yang berlangsung selama enam bulan bermula 11 Jun lepas hingga 21 Disember.

Ali turut menggesa kesemua pegawai pentadbir di jabatan kerajaan menjadikan program 'turun padang' sebagai aktiviti wajib bagi melonjakkan prestasi kerja setiap penjawat awam.

"Saya minta kesemua pengarah jabatan dan pengawai tadbir sentiasa turun padang meninjau tahap kerja jabatan masing-masing selain menganggap aktiviti itu bertujuan memberi motivasi tambahan kepada pengawai mereka sendiri," katanya.

Sementara itu, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menggesa graduan Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR) menyertai perkhidmatan awam berikutan pengiktirafan kerajaan terhadap keseluruhan 74 kursus Diploma dan Diploma Lanjutan daripada kolej tersebut.

Beliau berkata pengiktirafan terhadap kursus-kursus KTAR itu bermakna bahawa graduan kolej berkenaan sejak 1990-an akan diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dan ia membuka peluang kepada mereka menyertai perkhidmatan awam.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam membantu agar kursus-kursus daripada kolej itu diiktiraf," katanya dalam satu kenyataan di sini Khamis.

Ketika melawat KTAR pada Rabu, Najib mengumumkan bahawa kerajaan akan memberi pengiktirafan secara retrospektif kepada lebih 70 kursus Diploma dan Diploma Lanjutan yang ditawarkan kolej berkenaan berkuat kuasa serta-merta.

KTAR merupakan institusi milik MCA yang ditubuhkan pada 1969 dan kini menawarkan kursus Diploma dan Diploma Lanjutan. - BERNAMA

Artikel Lain