suria

3,000 Kerja Kosong Menanti Pesara Tentera - Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Sebanyak 3,000 peluang pekerjaan diwujud untuk pesara tentera tahun ini melalui dua syarikat yang dilantik Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat).

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata salah satu syarikat itu turut menyediakan latihan kepada bakal pesara yang berminat untuk menubuhkan perniagaan sendiri.

Peluang pekerjaan di kedua-dua syarikat itu turut terbuka untuk bekas tentera yang bersara awal dan tidak mendapat pencen, katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sijil kepada 681 pesara tentera berpencen dan tidak berpencen yang menjalani kursus antara enam hingga 18 bulan untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan awam.

Ahmad Zahid bagaimanapun enggan menamakan dua syarikat terbabit.

Beliau berkata ini merupakan satu cara kerajaan menghargai bekas tentera dan bantuan seperti itu akan membantu mereka berdikari untuk jangka panjang berbanding bantuan kewangan yang biasanya bersifat sekali atau sementara.

Selain daripada bantuan seperti ini, Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) turut memberikan bantuan kepada bekas tentera yang memperolehi pendapatan RM1,000 ke bawah seperti sokongan perubatan dan pendidikan untuk anak-anak mereka, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain