suria

Mekanik Maut Dalam Kejadian Langgar Lari

BESUT: Seorang mekanik maut dalam kejadian langgar lari di Km95 Jalan Kuala Terengganu-Jerteh dekat Kampung Tok Dor di sini, awal pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Kamaruddin Zakaria ketika dihubungi berkata mangsa dikenali sebagai Poh Chian Wei, 27, yang berasal dari Kampung Renek, dekat sini.

Katanya kejadian berlaku kira-kira pukul 6 pagi ketika mangsa sedang melintas jalan menuju ke bengkel rakannya, dilanggar sebuah kereta jenis Proton Saga yang datang dari arah Jerteh menuju ke Kuala Terengganu.

Beliau berkata akibat perlanggaran itu, mangsa melambung dan tercampak kira-kira lima meter dan meninggal dunia di tempat kejadian setelah cedera parah di kepala.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Besut untuk bedah siasat.

Sehubungan itu, Kamaruddin meminta kerjasama orang ramai yang menyaksi kejadian itu supaya tampil atau menghubungi balai polis berdekatan untuk membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Lain