suria

KDN Cadang Beri Elaun Kepada Sukarelawan Skuad 1Malaysia

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) bercadang memberi elaun bertugas kepada sukarelawan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), yang kini memikul tanggungjawab sebagai Skuad 1Malaysia.

Skuad 1Malaysia merupakan gabungan sukarelawan di bawah AADK iaitu Rakan Antidadah (Rada), Jawatankuasa Pemulihan Dadah (JKPD), Masyarakat Wanita Antidadah (Mawadah), Ahli Lembaga Pelawat (ALP), Persatuan Alumni AADK (Pendamai) dan Persatuan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS).

Ketua Setiausaha KDN Datuk Abdul Rahim Mohd Radzi berkata pemberian elaun itu adalah sama dengan peruntukan yang diberi kepada anggota pasukan sukarelawan lain di negara ini.

KDN akan menyediakan kertas cadangan untuk dibentang dalam mesyuarat kabinet bagi mendapatkan persetujuan, kata beliau kepada pemberita selepas majlis Peringatan Hari Anti Dadah Antarabangsa 2012 yang dihadiri kira-kira 5,000 anggota Skuad 1Malaysia di sini Ahad.

Abdul Rahim juga berkata elaun itu akan dibayar berdasarkan tempoh bertugas iaitu RM5.50 bagi setiap jam, sama seperti bayaran kepada sukarelawan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA).

Beliau berkata anggota Skuad 1Malaysia terlibat dalam aktiviti seperti pencegahan dadah, kaunseling, rawatan dan pemulihan serta sokongan sosial, termasuk ketika bencana alam.

"Tanggungjawab dan peranan sukarelawan Skuad 1Malaysia adalah berat dan begitu murni dalam memastikan negara bebas dariapda ancaman dadah. Meskipun mereka menjalankan tugas secara sukarela, tetapi mereka bekerja sehingga lapan jam untuk setiap tugasan yang diarahkan, maka dengan elaun itu, mereka akan berasakan usaha mereka dihargai," katanya.

Abdul Rahim berkata sejak skuad itu dilancarkan pada 4 Julai tahun lepas sehingga April tahun ini, bilangan anggotanya ialah 252,128 dan daripada jumlah tersebut, seramai 85,876 sukarelawan berusia lingkungan 18 dan 25 tahun, yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Beliau berkata ini termasuk golongan muda dari kaum Cina yang mencatat penyertaan seramai 7,544 orang (8.7 peratus), India seramai 3,559 orang (empat peratus) dan kaum lain seramai 4,502 orang (4.2 peratus).

Katanya, sehingga kini, seramai 300,000 penagih dadah tegar dikesan di seluruh negara dengan 80 peratus daripadanya adalah individu berusia antara 15 dan 40 tahun, dan 97 peratus adalah lelaki.

Berdasarkan Laporan Dadah 2011 AADK, sejumlah 44.51 peratus menjadi penagih kerana pengaruh kawan diikuti 20.31 peratus kerana faktor ingin tahu dan 13.13 peratus hanya untuk keseronokan semata-mata, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain