suria

Wang Tunai RM47,900 Lesap Dalam Masa Tiga Minit

KUALA LUMPUR: Sebuah mesin juruwang automatik (ATM) di Stesen Komuter Subang Jaya, dekat sini yang mengandungi wang tunai RM47,900 dilarikan empat lelaki dalam masa tiga minit, awal pagi Khamis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya Supt Tan Ah Chua berkata suspek warga tempatan yang berumur 30 hingga 40 tahun itu didapati sangat licik dan disyaki sudah berpengalaman dalam kes sedemikian.

Ini kerana suspek telah menyembur kamera litar tertutup (CCTV) di mesin ATM dan stesen komuter itu dengan cat berwarna hitam namun ia tidak menutup keseluruhan permukaan kamera menyebabkan gerak geri mereka berjaya dirakamkan dalam kejadian pukul 3.55 pagi itu, katanya ketika ditemui pemberita.

Tan berkata suspek menggunakan sejenis tali lebar diperbuat daripada getah dan diikatkan kepada mesin tersebut sebelum menariknya menggunakan kenderaan disyaki pacuan empat roda atau lori dan melarikan mesin menggunakan lori kecil.

"Tiga daripada suspek menutup muka mereka menggunakan kain dan seorang lagi hanya memakai topi ketika cuba melarikan mesin berkenaan dan mereka disyaki terlibat dengan beberapa kes kehilangan mesin ATM di tempat lain," katanya dan menurutnya polis menerima laporan daripada pekerja stesen komuter berkenaan pada 7.05 pagi dan tiba ke tempat kejadian sejurus selepas itu.

Menurut Tan, ketiadaan pengawal keselamatan akibat telah diberhentikan sejak 1 Jun lepas, tiada sistem penggera keselamatan pada mesin dan kawasan yang sunyi serta terpencil antara faktor yang memudahkan suspek melarikan mesin ATM tersebut.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Tan berkata sebuah sekolah rendah jenis kebangsaan mengalami kerugian bernilai hampir RM250,000 setelah disamun tiga lelaki warga tempatan dalam kejadian selama empat jam awal pagi Khamis di Batu 14, Puchong.

Kerugian dalam kejadian bermula antara pukul 2 hingga 3 pagi tersebut melibatkan wang tunai RM30,000, sebuah kereta Toyota Camry dan sebuah lori kecil, katanya.

Tan berkata suspek yang berumur 20 hingga 30 tahun menggunakan sejenis parang dan satu objek menyerupai pistol untuk menahan dan mengikat sembilan mangsa iaitu dua lelaki pengawal keselamatan sekolah, seorang lelaki pekerja penyelenggaran sekolah, dua lelaki penghantar surat khabar, tiga wanita pembantu kantin sekolah dan seorang lelaki pemilik kantin sebelum menyelongkar pejabat sekolah itu.

"Kesemua mangsa ditahan di kawasan kantin sekolah namun mereka dibebaskan sejurus sebelum suspek melarikan diri dan tiada sebarang kecederaan pada kesemua mangsa," katanya.

Katanya kejadian samun itu telah dirakam CCTV sekolah berkenaan dan polis sedang meneliti rakaman berkenaan bagi mengenal pasti suspek malah sedang giat memburu kesemua suspek dalam dua kes itu. - BERNAMA

Artikel Lain