GEORGE TOWN: Mayat Toh Puan Goh Sing Yeng, 93, isteri kepada mendiang bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Tun Dr Lim Chong Eu, akan disemadikan di Tanah Perkuburan Cina Batu Gantung Sabtu ini, pukul 1 petang.
Mendiang meninggal dunia kira-kira pukul 11 Selasa di kediamannya di Tanjung Bungah, dekat sini kerana sakit tua.
Anak sulung mendiang Lim Chien Aun berkata keadaan kesihatan ibunya semakin merosot sejak kebelakangan ini berikutan faktor usia.
"Ibu saya meninggal dunia di rumah, di sisi kami semua," katanya kepada pemberita di kediamannya di Jalan Haji Sudin, Tanjung Bungah dekat sini.
Beliau berkata persiapan upacara pengebumian Sabtu ini sedang dilaksanakan dan beliau mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang menyampaikan ucapan takziah.
Mendiang meninggalkan empat orang anak, dua lelaki - Lim Chien Aun dan Lim Chien Cheng dan dua perempuan - Lim Pao Lin dan Lim Pao Yen serta empat cucu dan dua cicit. - BERNAMA


