suria

243 Pusat MID Ditransformasi Jadi Pusat Transformasi Luar Bandar

KUALA PILAH: Sebanyak 243 pusat Medan Infodesa (MID) yang berperanan sebagai pusat latihan kepada komuniti luar bandar akan ditransformasikan menjadi Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC Mini) dengan 77 darinya dijangka dilaksanakan pada tahun ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata transformasi itu bermatlamat menjadikan pusat tersebut sebagai penghubung masyarakat luar bandar dengan aktiviti yang mempunyai nilai tambah yang tinggi bagi mewujudkan impak ekonomi dan pendapatan berganda.

"Kita ada 243 pusat MID seluruh negara dan semua ini akan kita convert menjadi RTC untuk kita bantu gerakan transfromasi luar bandar di semua kawasan di setiap negeri dengan 77 buah pada tahun ini manakala selebihnya pada tahun 2013.

"Dengan transformasikan ini kita harap ia dapat memberi manfaat kepada masyarakat luar bandar selaras dengan konsep Transformasi Luar Bandar yang disebutkan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan prapelancaran Mini RTC Kuala Pilah, di sini Sabtu.

Katanya, transformasi tersebut yang dilaksanakan di bawah teras Strategi Lautan Biru Kebangsaan 4, bukan hanya melibatkan pembangunan infrastruktur luar bandar semata-mata sebaliknya lebih menjurus kepada menggalakkan kegiatan ekonomi.

Katanya, pusat MID yang sebelum ini hanya menawarkan perkhidmatan menerusi agensi-agensi di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar, kini akan menjadi pusat sehenti yang turut mempunyai perkhidmatan daripada agensi di kementerian lain.

Katanya, lapan kementerian akan turut terlibat menyediakan perkhidmatan berkaitan kepada komuniti luar bandar seperti Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

"Di pusat RTC ini nanti akan ada pelbagai perkhidmatan yang akan disediakan pelbagai agensi, di mana kita akan menyediakan kursus keusahawanan, pinjaman, bantuan pemasaran, pembungkusan dan lain-lain berkaitan perniagaan.

"Sebagai contoh RTC di Gopeng, Perak yang telah beroperasi telah berjaya meningkatkan pendapatan petani di sana kalau dulu RM3,000 sebulan kini setelah diberikan latihan dan kemahiran melalui RTC tersebut berjaya ditingkatkan sehingga RM3,000," katanya.

Program MID yang diperkenalkan pada 2001 di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah merupakan satu pusat latihan yang dilengkapi dengan kemudahan infrastruktur teknologi maklumat (ICT) dengan seramai 667,500 penduduk luar bandar telah menggunakan kemudahan itu sejak ia ditubuhkan.

Selaras dengan program Transfromasi Luar Bandar yang diumumkan Perdana Menteri pada pembentangan Belanjawan 2012 Oktober lalu, pusat tersebut akan ditukar menjadi RTC yang akan mempunyai fungsi yang lebih luas ke arah pembangunan luar bandar. - BERNAMA

Artikel Lain