suria

25 NGO Buat Laporan Polis Terhadap Lim Guan Eng

NIBONG TEBAL: Lebih 25 wakil badan bukan kerajaan (NGO) di Nibong Tebal membuat laporan polis, Jumaat, meminta Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng disiasat berhubung tawaran jawatan kepada bekas Naib Pengerusi DAP Tunku Abdul Aziz Ibrahim.

Pengerusi Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Seberang Perai Selatan Zulkifli Musa berkata siasatan itu perlu kerana tindakan Lim tersebut boleh mencemarkan nama baik Tunku Abdul Aziz yang juga bekas Pengerusi Transparency International Malaysia.

Beliau ditemui pemberita selepas mewakili kumpulan NGO terbabit membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan di sini.

Antara NGO berkenaan ialah Perkasa, Sekretariat Melayu Pulau Pinang dan Kelab Warisan Melayu Pulau Pinang.

Media sebelum ini melaporkan Tunku Abdul Aziz berkata beliau menganggap tindakannya keluar parti itu tepat selepas Lim yang juga Setiausaha Agung DAP, menawarkan jawatan kanan di sebuah agensi kerajaan negeri serta RM50,000 kepada beliau susulan peletakan jawatannya.

Tunku Abdul Aziz bertindak meninggalkan DAP selepas beliau menerima kecaman hebat daripada pemimpin parti itu susulan kenyataan peribadinya berhubung perhimpunan yang bertukar ganas di ibu kota pada 28 April lepas. - BERNAMA

Artikel Lain