suria

Tun Mahathir Dianugerah Tokoh Automotif Negara

KUANTAN: Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menjadi tokoh penggerak industri permotoran Malaysia sehingga berjaya menghasilkan kereta nasional Proton sejak 1985 hingga kini, akan dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan Automotif daripada Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Penganugerahan akan disempurnakan Canselor UMP Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada majlis Konvokesyen Khas UMP pada 17 Mei ini, di UMP Kampus Gambang, di sini.

Naib Canselor UMP Profesor Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim berkata anugerah itu sebagai menghargai jasa Dr Mahathir atas sumbangan dan usaha berterusan bekas perdana menteri itu dalam pembangunan industri automotif negara.

"Wawasan dan pandangan jauh beliau terhadap potensi besar industri automotif sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi menyaksikan ramai anak tempatan berkepakaran dan berkemahiran tinggi dalam bidang kejuruteraan automotif," katanya.

Daing berkata kejuruteraan automotif merupakan antara bidang kebitaraan universiti itu, yang akan menyambut ulang tahun ke-10 penubuhannya tahun ini.

Sempena dengan majlis konvokesyen itu, beliau berkata UMP akan mengadakan pameran mengenai biodata Dr Mahathir, sumbangan beliau dalam pembangunan industri automotif negara dan penglibatan UMP dalam bidang automotif. - BERNAMA

Artikel Lain