suria

Warga Asing Menyorok Bawah Reban Ayam

PETALING JAYA: Cubaan buruh warga asing melarikan diri daripada pihak berkuasa dengan menyorok di bawah rumah kongsi dan dalam lubang di bawah reban ayam gagal apabila tiga daripada mereka berjaya dikesan dalam serbuan di tapak penempatan pekerja buruh warga asing di Damansara Perdana di sini Jumaat malam.

Mereka adalah antara 92 warga asing yang ditahan, antaranya kerana tidak memiliki dokumen bekerja, dalam operasi membabitkan 62 anggota dan pegawai Bahagian Penguatkuasa Imigresen Kuala Lumpur, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) kira-kira 11.30 malam.

Penolong Pengarah Imigresen Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Kuala Lumpur James Musa Singa berkata seramai 261 warga asing diperiksa dalam serbuan yang dilakukan terhadap 50 buah bilik di lima blok kontena dua tingkat dan empat buah rumah kongsi kayu.

Hasil pemeriksaan, 92 warga asing masing-masing 34 lelaki dan 13 wanita warganegara Indonesia, 40 warganegara Bangladesh dan lima warganegara Myanmar ditahan atas beberapa kesalahan.

Selain tidak memiliki dokumen, mereka turut ditahan kerana cuba melarikan diri, tidak pulang selepas diputihkan serta langsung tidak diputihkan di bawah Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (6P), katanya kepada pemberita selepas operasi.

Kesemua warga asing yang ditahan itu dibawa ke Jabatan Imigresen di Jalan Duta untuk disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, katanya.

"Kita juga akan siasat mereka ini di bawah Akta Antipemerdagangan Orang manakala kita akan ambil tindakan termasuk pemilik tempat atau majikan kerana membenarkan pendatang asing tinggal di kawasan ini," katanya.

Beliau berkata kawasan yang diserbu untuk kali pertama itu dijadikan lokasi penempatan bagi pekerja warga asing ini dan setiap hari mereka akan dibawa ke tapak pembinaan yang berhampiran untuk bekerja.

Beliau berkata meskipun banyak peluang telah diberi kepada majikan atau pekerja di bawah program 6P sebelum ini, namun dilihat masih ramai lagi yang masih enggan untuk mendaftar.

"Kerana itu tujuan kita hari ini untuk mengesan mana-mana yang tidak mendaftar kerana kita sekarang di peringkat penguatkuasaan terutamanya bagi mereka yang tidak pulang dan tidak diputihkan, kita akan buat tangkapan dan tiada kompromi," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain