suria

PM Umum Teng Chang Yeow Pengerusi BN P.Pinang Yang Baharu

NIBONG TEBAL: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Ahad mengumumkan Setiausaha Agung Gerakan Teng Chang Yeow sebagai pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang menggantikan Senator Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Beliau berkata lantikan terhadap bekas Exco kerajaan negeri yang juga bekas anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Komtar itu akan berkuat kuasa hari ini.

"Saya umumkan pelantikan Teng Chang Yeow sebagai pengerusi BN Pulau Pinang yang baharu dan beliau akan ambil alih dan memikul tanggungjawab itu mulai hari ini.

"Terima kasih saya ucapkan kepada Pengerusi Gerakan Negeri Datuk Dr Teng Hock Nan kerana faham bahawa inilah realiti politik, walaupun beliau sendiri telah banyak memberi sumbangan dan tenaga kepada parti selama ini," katanya.

Najib membuat pengumuman itu dalam ucapan pada majlis perjumpaan dengan anggota jentera pilihan raya pusat daerah mengundi (PDM) di Bukit Jawi Golf Resort di sini hari ini. Pada majlis itu, Perdana Menteri turut melancarkan 345 PDM di seluruh Pulau Pinang.

Pada November tahun lepas, Koh yang juga Presiden Gerakan mengumumkan tidak akan bertanding pada pilihan raya umum ke-13 nanti dan dengan itu dirumuskan bahawa beliau pada prinsipnya membuat keputusan untuk melepaskan jawatan sebagai pengerusi BN Pulau Pinang.

Najib berkata pelantikan Teng sebagai pengerusi BN Pulau Pinang yang baharu juga merupakan sebagai pemangkin kepada kekuatan jentera BN khususnya di negeri ini yang memerlukan pembaharuan.

Pembaharuan ini bererti bahawa semua pihak harus bekerjasama dan bermuafakat serta boleh bekerja sebagai satu pasukan untuk mengukuhkan parti, katanya.

"Dalam konteks Pulau Pinang ini, kita perlu kepada pembaharuan dan sebab itulah bila saya berbincang dengan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, beliau sedar hakikat ini dan sebab itulah beliau umumkan tak akan bertanding dalam pilihan raya umum kali ini dan beliau beritahu akan tamatkan perkhidmatan dalam kerajaan sebab beliau tahu realitinya begitu.

"Terima kasih Koh Tsu Koon," kata Perdana Menteri.

Turut hadir bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Pengerusi MCA Pulau Pinang Datuk Seri Dr Ng Yen Yen yang juga Menteri Pelancongan.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri menggesa anggota parti supaya bekerja dan berkhidmat kepada rakyat serta pengundi dengan bersungguh-sungguh jika mahu menang dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.

Katanya mereka perlu menawan hati dan minda rakyat untuk menyokong BN.

"Jadi kalau nak menang, buat kerja macam orang nak menang, jangan hanya cakap sahaja tetapi tak buat kerja...mesti buat kerja, mesti banyak senyum jangan nampak masam muka, tengok macam nak telan orang tapi kita nak orang sokong kita," katanya.

Beliau berkata sebagai pemimpin tidak wajar meletakkan kepentingan diri lebih daripada kepentingan parti dan penyokong.

"Jangan bila tidak terpilih nanti merajuk, tutup bilik gerakan, tidak mahu kerja dan yang lebih buruk lagi sabotaj parti...itu tidak wajar dilakukan, kerja keras...saya pun kerja hari Sabtu macam hari biasa, tak apa asalkan kita menang besar.

"Hilang rasa penat bila kita menang, oleh itu kita mesti pakejkan strategi kita untuk capai kemenangan, kita mesti terima realiti, kita mesti ada pembaharuan dalam BN di semua peringkat," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain