suria

Pemandu Teksi Bebas Tuduhan Bunuh Siti Shamiza Di Giant Batu Caves

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi pada Jumaat melepas dan membebaskan seorang pemandu teksi daripada tuduhan membunuh Siti Shamiza Abu Zarim, yang ditembak mati dalam satu rompakan di Pasar Raya Giant Batu Caves, Gombak, tujuh tahun lepas.

Hakim Datuk Zaharah Ibrahim (kini Hakim Mahkamah Rayuan) membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mokhtar Mohd Zin, 50, dari Kelantan, didakwa membunuh Siti Shamiza, 30, yang bekerja sebagai setiausaha di sebuah syarikat pembinaan, di tempat letak kereta Pasar Raya Giant Batu Caves, pada 1.45 petang 19 Mac 2005.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Seramai 18 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Yong Leou Shin sementara Mokhtar diwakili peguam Datuk Mohd Hakimi Abdul Kadir dan Surjan Singh.

Pada 20 September 2009, Zaharah melepas dan membebas Mokhtar daripada tuduhan sama di akhir kes pendakwaan tanpa dipanggil membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie ke atas pemandu teksi itu.

Pada 10 Oktober tahun lepas, Mahkamah Rayuan bagaimanapun memerintahkan Mokhtar membela diri selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.

Di Mahkamah Sesyen Ampang, Mokhtar dibicarakan atas dua lagi pertuduhan iaitu cubaan membunuh seorang penyelia Ong Wooi Chong dan merompak sebuah kereta milik seorang setiausaha, Nor Haslinda Abdul Hamid.

Mahkamah menetapkan 18 April ini untuk keputusan di akhir kes pendakwaan bagi kedua-dua pertuduhan itu.

Mokhtar didakwa cuba membunuh Ong dengan melepaskan tembakan hingga menyebabkan kecederaan kepada mangsa di kawasan pintu pagar tempat letak kereta Pasar Raya Giant Batu Caves pada 2 petang 19 Mac 2005.

Dia dituduh mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Pemandu teksi itu juga didakwa merompak kereta Perodua Kancil milik Nor Haslinda, dengan mengacukan sepucuk pistol kepada wanita itu di kawasan letak kereta, rumah pangsa Jalan SBC12, Taman Sri Batu Caves pada masa dan hari yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sebat, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Lain