suria

Wartawan Utusan Malaysia Rangkul Anugerah Kajai

KUALA LUMPUR: Wartawan Utusan Malaysia Mohd Asron Mustapha dan Mohd Termizi Che Anuar merangkul Anugerah Kajai, Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2011, di sini malam Jumaat.

Mereka membawa pulang gelaran paling berprestij kewartawanan di negara ini serta wang tunai RM30,000 dan sekeping syiling emas seberat 100 gram bernilai kira-kira RM19,000 yang disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mohd Asron dan Mohd Termizi menulis laporan khas berjudul "Air Kelantan Terkotor?" sebanyak lima siri yang mendedahkan masalah yang mengancam kesihatan pengguna air di Kelantan kerana air yang disalurkan pihak berkuasa negeri itu tidak menepati standard ditetapkan.

Bagi kewartawanan penyiaran stesen televisyen TV3 merangkul anugerah bagi Berita Video Terbaik dan Dokumentari Terbaik.

Pada majlis juga, seramai 16 wartawan daripada pelbagai organisasi berita menerima hadiah menerusi 12 kategori dan masing-masing membawa pulang RM15,000 kecuali bagi kategori Kewartawanan Esei Foto Cemerlang yang menerima RM12,000.

Sementara itu, pemenang Anugerah Kajai Mohd Asron ketika ditemui Bernama berkata beliau bersyukur dan tidak menyangka meraih anugerah berprestij itu.

"Apa yang penting, anugerah ini membuktikan apa yang dilaporkan kami sebanyak lima siri itu adalah berlandaskan fakta sebenar mengenai pencemaran air di Kelantan sehingga ada pihak mempertikaikan laporan khas itu hanya untuk kepentingan politik," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain