suria

Dua Anggota Polis Didakwa Rasuah Peniaga

KUALA LUMPUR: Dua anggota polis pada khamis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan cuba memperoleh rasuah daripada seorang peniaga tahun lepas.

Konstabel M.Divaanathan, 24, didakwa bersubahat dengan rakan sekerjanya Mohd Zulamer Jamaludin yang cuba memperoleh rasuah RM1,500 daripada Mohd Farid Zali, 30, sebagai dorongan untuk tidak menahan dan tidak menghendaki Mohd Farid menjalani ujian saringan air kencing.

Divaanathan didakwa melakukan kesalahan itu di Lot Parking Flat 209, Taman Dato Senu, Sentul di sini pada jam 7.30 malam, 25 Januari tahun lepas mengikut Seksyen 28 (1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Undang-undang Malaysia Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000, atau lima kali ganda nilai suapan, yang mana lebih tinggi.

Divaanathan turut menghadapi pertuduhan kedua iaitu telah secara rasuah menyetujui terima daripada Mohd Farid bagi pihak Mohd Zulamer wang tunai RM1,500 bagi tujuan yang sama di Restoran Marjana Maju Sdn Bhd, Sentul di sini pada jam 4 petang, 26 Januari 2011.

Sementara itu Mohd Zulamer, 26, yang berpangkat Lans Koperal didakwa secara rasuah cuba memperoleh untuk dirinya wang tunai RM1,500 daripada Mohd Farid bagi tujuan yang sama.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Lot Parking Flat 209, Taman Dato Senu, Sentul di sini pada jam 7.30 malam, 25 Januari tahun lepas.

Untuk kesalahan tersebut, Divaanathan dan Mohd Zulamer didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 (Undang-undang Malaysia Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000, atau lima kali ganda nilai suapan, yang mana lebih tinggi.

Hakim Rozilah Salleh membenarkan Divaanathan diikat jamin RM7,000 manakala Mohd Zulamer diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin.

Rozilah turut menetapkan 30 Mac ini untuk sebutan kes serta 28 Mei hingga 1 Jun depan untuk perbicaraan serta membenarkan kes tersebut dibicarakan bersama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sophian Zakaria dari SPRM manakala peguam G.K Ganesan dan Mohan Sankaran mewakili Divaanathan serta Mohd Zulamer diwakili peguam Mohd Shahrullah Khan bin Nawab Zadah Khan. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain