suria

Punca Sebenar Penyebaran AGE Masih Misteri

PETALING JAYA: Punca sebenar penyebaran jangkitan akut gastroenteritis (AGE) yang menyebabkan dua kematian di Perak, tiga minggu lalu masih misteri.

Kebanyakan pesakit terdiri daripada kanak-kanak dari Batang Padang dan Hilir Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, ujian ke atas sejenis virus dikenali 'Rotavirus' yang menyebabkan kes AGE masih negatif setakat ini.

"Ujian terhadap Rotavirus dalam sampel air diambil dari lapan lokasi di Batang Padang sejak tiga hari lalu iaitu pada 11 hingga 13 Februari lalu adalah negatif.

"Keputusan ke atas sampel air yang diambil dari Hilir Perak pada 14 Februari masih belum diketahui," kata Dr Mah kepada The Star.

Sebanyak 1,990 kes jangkitan AGE dilaporkan di Hilir Perak manakala 1,078 kes di Batang Padang sejak tiga minggu lalu.

Dr Mah berkata, hasil keputusan negatif itu berkemungkinan besar disebabkan tahap kepekatan virus tersebut yang rendah dalam sampel air yang diambil.

"Virus sukar dikesan dan penyakit semulajadi yang akan berkurangan sepanjang dua ke tiga minggu," katanya.

Mengenai peningkatan kes AGE di dua kawasan terbabit, Dr Mah berkata, perkara itu disebabkan oleh tahap kesedaran orang ramai yang mula mendapatkan rawatan terhadap simptom seperti cirit-birit, demam dan muntah.

"AGE boleh disebabkan oleh beberapa jenis virus atau bakteria. Dalam kes ini, pihak berkuasa percaya ia mungkin Rotavirus kerana 18 hingga 39 peratus disahkan positif jangkitan tersebut," katanya.

Dr Mah turut menekankan bahawa penjagaan kebersihan perlu dititik-beratkan untuk mengelak daripada terkena jangkitan AGE.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan ibu bapa supaya mendapatkan rawatan segera sekiranya anak-anak mereka tidak sihat.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain