suria

Warga Emas Dan Menantu Diberkas Kerana Pecah Rumah

MELAKA: Seorang lelaki warga emas bersama menantunya dicekup polis di sini Ahad kerana dipercayai terlibat dalam kes curi motosikal dan pecah rumah.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Salehhudin Abd Rahman berkata, dalam serbuan di Taman Krubong Jaya pada kira-kira 9 pagi, kedua-dua lelaki berusia 69 dan 38 tahun itu berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan dengan anggota polis.

Beliau berkata, pemeriksaan polis menemui pelbagai barangan dipercayai hasil kegiatan pecah rumah termasuk 10 buah komputer riba, empat televisyen LCD dan lima telefon bimbit selain peralatan pecah rumah seperti pemotong dan playar lipat.

"Polis turut menjumpai sebuah motosikal EX5 yang dilaporkan hilang di Banda Hilir di sini pada 6 Februari lalu," katanya pada sidang akhbar di sini, Isnin.

Katanya, lelaki berusia 38 tahun berkenaan turut positif dadah selepas ujian air kencing dijalankan selain mempunyai rekod lampau atas kesalahan dadah. Sementara itu, kata Salehhudin, polis mencari seorang wanita bagi menghadiri perbicaraan di Mahkamah Tinggi Melaka pada 17 dan 18 Februari depan berhubung kes kematian seorang anggota polis, Konstabel Mohd Fairuz Shafie.

Katanya, wanita tersebut, Siti Fairus Falillah Busri Rojy yang beralamat di No.23A Kampung Chemomoi, Simpang Pelangi, Bentong, Pahang dan No. 28, Taman Desa Maju, Setiawan, Perak gagal hadir ke mahkamah pada prosiding sebelum ini. Katanya, orang ramai yang mengenali saksi diminta menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Melaka Tengah, Deputi Supritendan Polis Gan Chip Poh di talian 017-6380555 dan Asisten Supritendan Polis Jay January Siowow di talian 016-8411011 atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah di talian 06-2842222. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain