suria

Demonstrasi Di Kelantan Bukti Orang Asli Tidak Sanggup Ditindas

GUA MUSANG: Demonstrasi hampir 1,000 penduduk Orang Asli di sini pada kira-kira tiga minggu lalu membuktikan masyarakat itu tidak lagi sanggup ditindas kerajaan PAS Kelantan yang membenarkan pihak lain menceroboh tanah adat mereka.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata perkara itu boleh dielakkan jika kerajaan negeri itu mewartakan segera tanah adat yang sekian lama menjadi tempat masyarakat itu berteduh dan mencari rezeki.

"Saya sedih perkara ini berlaku kerana kegagalan kerajaan Kelantan bertindak lebih awal menangani masalah itu. Menceroboh tanah adat ini telah merosakkan kehidupan masyarakat ini yang sekian lama mencari rezeki di situ," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jalinan Mesra ke Perkampungan Orang Asli di Pos Brooke di Lojing di sini, Sabtu.

Dalam kejadian di Kuala Betis, masyarakat Orang Asli mengadakan tunjuk perasaan membantah pencerobohan tanah adat itu menyebabkan 13 orang ditahan polis kerana mengadakan tunjuk perasaan secara haram.

Mengulas perkara itu, Mohd Shafie berkata masyarakat itu marah kerana pihak yang dikatakan menceroboh itu turut merosakkan kawasan tadahan air yang digunakan mereka selama ini.

"Saya telah mengarahkan pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk berunding dengan kerajaan negeri agar satu penyelesaian dapat diputuskan," katanya.

Katanya arahan juga dikeluarkan kepada semua Menteri Besar agar dapat mewartakan tanah adat masyarakat itu di negeri masing-masing.

"Ada negeri seperti Terengganu telah bertindak lebih awal berbuat demikian termasuk beberapa negeri lagi dan saya berharap Kelantan dapat mengambil langkah-langkah sepatutnya," katanya.

Mohd Shafie turut meluangkan masa beramah mesra dengan masyarakat Orang Asli dan bertemu dengan lapan daripada 13 yang ditahan polis dalam tunjuk perasaan itu.

Sementara itu, selepas melawat Projek Pembangunan Masyarakat Setempat (PPMS) di Ladang Chin Teck di sini, Mohd Shafie berkata beliau berpuas hati dengan agensi berkaitan seperti Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dalam memajukan kehidupan penduduk di hulu Kelantan.

Beliau berkata pihaknya akan menubuhkan Pusat Informasi Luar Bandar di beberapa kawasan strategik di seluruh negara bagi membolehkan orang ramai mendapatkan maklumat tentang kementerian dan agensi-agensi tertentu.

"Esok pusat itu akan dirasmikan di Gopeng (Perak) dan selepas itu di Wakaf Che Yeh (Kelantan) dan akan ke seluruh negara secara berperingkat," katanya.

Terdapat lebih 300 rumah PPMS dibina Kesedar di ladang berkenaan bagi menempatkan penduduk di kawasan tersusun itu dam mereka turut dibantu mendapatkan pekerjaan sesuai. -BERNAMA

Artikel Lain