suria

100 Peratus Anggota ATM Terima Tawaran Opsyen SBPA - Abdul Latiff

KOTA KINABALU: Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata semua anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerima tawaran opsyen Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) bagi anggota tentera yang berkuatkuasa 16 Jan lepas.

Beliau berkata skim yang berlainan dengan SBPA bagi penjawat awam itu mendapat persetujuan 100 peratus anggota selepas mendapat penjelasan terperinci daripada lebih 20 sesi dialog yang diadakan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak mulai Disember tahun lepas.

"Selepas sesi dialog yang dijalankan secara santai dalam nilai ATM yang jarang diadakan (selalunya formal) dan apabila santai, anggota-anggota lain pangkat dari peringkat bawahan tidak malu bertanya dan mereka mendapat kefahaman jelas.

"ATM mempunyai cara pendekatan yang amat komprehensif (memberi penjelasan mengenai SBPA) di bawah kelolaan Bahagian Perkhidmatan yang diketuai oleh Mejar Jeneral Datuk Abdul Aziz Ibrahim," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi dialog berhubung SBPA bersama warga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Teluk Sepanggar di sini, Jumaat.

Pada Khamis, Abdul Latiff selepas taklimat tertutup mengenai SBPA untuk pegawai dan anggota tentera di Kem Penrissen Kuching dilaporkan berkata gaji pokok permulaan anggota tentera berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melonjak daripada kira-kira RM800 kepada RM1,125 sebulan berikutan pelaksanaan skim gaji baru ATM berkuatkuasa 16 Jan lalu.

Skim dirancang lebih awal sebelum SBPA diperkenalkan itu juga menyaksikan kenaikan gaji kemasukan bagi pemegang Ijazah Sarjana Muda daripada RM2,100 sebelum ini kepada RM2,400, sebulan.

Abdul Latiff bagaimanapun berkata tidak kesemua daripada anggota tentera menerima opsyen bagi umur persaraan 60 tahun dan mereka boleh memilih opsyen itu sehingga akhir bulan ini.

Pada sesi dialog itu, Menteri itu berkata pelaksanaan gaji baru itu dirancang secara tertib di peringkat dalaman ATM mengikut Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan ATM perkhidmatan terkanan di negara ini.

"Skim SBPA-ATM itu dirancang lebih awal daripada SBPA selama 30 bulan untuk membuat 'menu' skim itu bagi mengambil kira ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM di negara ini," katanya.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata sebelum ini kebanyakan anggota tentera dari peringkat golongan muda yang berkhidmat selama 18 tahun dalam TLDM tidak bersetuju dengan opsyen persaraan 60 tahun.

"Mereka tidak mendapat penjelasan komprehensif tentang SBPA-ATM dengan tidak menerima umur persaraan (58 tahun ke 60 tahun), mereka membuat keputusan dalam keadaan tidak faham dan sekarang mereka diberi peluang tandatangan (pilih opsyen bersara 60 tahun) sehingga akhir bulan ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain