suria

Jalan Ke Putrajaya Bukan Jalan Yang Mudah - Abdul Hadi

ALOR SETAR: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, pada Sabtu mengakui hasrat pakatan pembangkang PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP untuk membentuk kerajaan Persekutuan pada pilihan raya umum ke-13 bukan satu tugas yang mudah.

Beliau berkata pakatan pembangang perlu bekerja keras bagi memastikan kemenangan dalam pilihan raya umum itu kerana "jalan untuk ke Putrajaya sangat berliku dan bukan jalan yang mudah".

Abdul Hadi berkata walaupun impian itu dilaungkan berkali-kali, agak sukar bagi gabungan itu untuk mencapainya jika tidak dilakukan dengan bersungguh-sungguh.

"Kita mempunyai satu tanggungjawab yang besar dalam menuju ke Putrajaya tetapi jalan untuk ke sana sangat berliku dan penuh cabaran," katanya ketika berucap pada sesi penggulungan Konvensyen Pakatan Rakyat Kali ketiga di Stadium Sultan Abdul Halim di sini, Sabtu.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam ucapan penggulungannya pula mengakui Barisan Nasional (BN) masih mempunyai kelebihan dan tidak ada jaminan pakatan pembangkang akan menang dalam pilihan raya umum nanti.

Beliau berkata mereka juga perlu bersiap sedia untuk menghadapi segala cabaran daripada BN.

Sementara itu ketika ucapan Suara Nurani Rakyat Malaysia, Datuk Ambiga Sreenevasan yang mewakili pertubuhan bukan kerajaan mencadangkan kepada Pakatan Rakyat supaya menumpukan kepada kes rasuah yang besar sahaja jika mereka berjaya membentuk kerajaan.

"Kita boleh ampunkan ikan kecil kes rasuah...tangkap ikan besar. Saya mahu tahu pendirian pakatan mengenai memerangi rasuah," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain