suria

Sultan Selangor Berkenan Batalkan Pelantikan Hasan Ali Sebagai Anggota Exco

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan membatalkan pelantikan Datuk Dr Hasan Ali sebagai Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaaan Negeri.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata keputusan itu dibuat atas nasihatnya kepada baginda ketika menghadap Sultan Selangor di Istana Bukit Kayangan di sini, Jumaat.

"Memandangkan Datuk Dr Hasan bukan lagi ahli PAS, saya telah membuat keputusan bahawa beliau tidak lagi boleh menjadi ahli Exco dan telah menasihati Tuanku Sultan untuk membatalkan pelantikan beliau.

"Tuanku Sultan telah bersetuju dengan pendapat saya dan baginda akan menulis surat pembatalan pelantikan Datuk Dr Hasan sebagai ahli Exco," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sebelum ini, Abdul Khalid meminta Hasan mengosongkan jawatan Exconya secara sukarela kerana beliau telah dipecat daripada PAS dan tidak lagi mewakili parti itu dalam kerajaan negeri.

Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor itu dipecat daripada PAS pada Ahad lepas kerana tindakannya yang dikatakan menyalahi dan merugikan kepentingan parti itu.

Hasan memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor.-BERNAMA

Artikel Lain