suria

13 Barang Harga Terkawal Sempena Tahun Baru Cina - Ismail Sabri

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) hari ini mengumumkan 13 jenis barangan terkawal di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2012.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata skim berkuat kuasa selama 12 hari dari 19 hingga 30 Jan sempena sambutan Tahun Baru Cina yang jatuh pada 23 Januari ini.

"13 barang harga terkawal ini adalah barangan popular di kalangan masyarakat Cina sempena Tahun Baru Cina. Kalau tidak kawal, peniaga-peniaga akan mengambil kesempatan untuk menaikkan harga," katanya pada sidang media, di sini.

Barangan terbabit ialah ayam hidup dengan harga maksimum RM5.90 sekilogram, ayam standard (RM7/kg), ayam super (RM7.80/kg), telur ayam gred A (0.36sen sebiji), B (0.35sen) dan C (0.34sen).

Turut tersenarai kubis bulat import (Indonesia dan China, tidak termasuk kubis Beijing) pada harga RM3.50/kg, bawang putih dari China (RM5/kg), ikan bawal putih besar (RM38/kg), udang putih besar (RM35/kg), babi hidup (hanya di peringkat ladang), perut babi (RM20/kg) dan daging babi tanpa lemak dan berlemak (RM15/kg).

Bagaimanapun kata Ismail Sabri, di Sabah dan Sarawak harga maksimum 13 barangan terbabit kira-kira 10 peratus lebih tinggi berbanding di Semenanjung.

Peniaga diwajib meletakkan tanda harga merah jambu bagi barangan harga terkawal, katanya.

Beliau berkata seramai 1,941 pegawai penguatkuasa KPDNKK dan 1,314 pemantau harga akan memantau harga barang terkawal di sebanyak 146 kawasan/ daerah di seluruh negara iaitu 89 kawasan di Semenanjung, 32 (Sarawak), 24 (Sabah) dan satu di Labuan.

"Kita juga akan gerakkan penghulu-penghulu di seluruh yang mempunyai kad kuasa untuk memantau harga," katanya.

Aduan mengenai peniaga tidak mematuhi skim tersebut boleh dibuat menerusi emel ke e-aduan.

Artikel Lain