suria

Baki Anggota SPDP 5 Umum Keluar Parti

KUCHING: Krisis dalam Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) semakin parah apabila baki empat lagi pemimpin yang disebut sebagai SPDP 5 pada Jumaat mengumumkan bahawa mereka keluar daripada parti itu, berkuat kuasa pada Sabtu.

Datuk Peter Nansian, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Tasik Biru, Rosey Yunus (Bekenu), Paulus Palu Gumbang (Batu Danau) dan Anggota Parlimen Mas Gading Datuk Dr Tiki Lafe, yang kini bertegang leher dengan Presiden SPDP Tan Sri William Mawan mengumumkan keputusan mereka menerusi satu kenyataan bersama.

Kenyataan itu menyebut bahawa pemecatan bekas Setiausaha Agung Datuk Sylvester Entri pada November lepas menjadi antara punca yang menyebabkan mereka bertindak keluar parti.

"Kami perlu menegaskan prinsip kami seperti mana yang telah kami isytiharkan sebelum ini bahawa jika mereka menyentuh sesiapapun di antara kami, maka mereka telah menyentuh kami semua," kata mereka.

Mereka berkata keputusan itu juga untuk membuktikan bahawa mereka bukanlah pengacau dalam parti dan tidak mencabar kepimpinan.

"Memandangkan kami melihat seolah-olah tiada tanda ke arah perdamaian dalam parti, maka tiada gunanya bagi kami untuk kekal dalam parti," kata mereka, sambil menambah sikap bermusuhan diambil terhadap mereka oleh parti meskipun dinasihati oleh kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) supaya meredakan keadaan.

Keempat-empat mereka turut mengambil pendirian bahawa mereka ingin menumpukan perhatian terhadap tugas untuk berkhidmat kepada rakyat dengan sebaik-baiknya menerusi BN, bukannya berperang untuk meraih jawatan tinggi atau ganjaran dan mengakibatkan pergaduhan yang berpanjangan dalam parti.

Dengan keputusan itu, mereka turut merancang untuk menubuhkan Kelab Barisan Nasional Sarawak di kawasan pilihan raya masing-masing sebagai satu wadah dan langkah sementara untuk terus berkhidmat kepada rakyat.

"Kami tidak mahu menjadi pihak yang menjejaskan kestabilan Barisan Nasional dalam apa jua cara sekalipun kerana kita memerlukan kerajaan yang kukuh dan stabil untuk membawa pembangunan serta kemajuan," kata mereka. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain