suria

35 Peratus Hari Tahun Ini Adalah Cuti Rehat Pekerja

PETALING JAYA: Pekerja-pekerja di Malaysia akan menghabiskan sekurang-kurangnya sebanyak 35 peratus daripada 366 hari untuk tidak bekerja pada tahun ini yang merupakan tahun lompat di mana mereka akan menikmati minimum 121 cuti rehat termasuk hujung minggu dan cuti umum.

Jumlah itu tidak termasuk cuti tahunan pekerja yang mengikut Akta Kerja 1955 menyatakan minimum lapan hari bagi mereka yang bekerja di sesebuah syarikat kurang daripada dua tahun.

Para pekerja yang berkhidmat antara dua dan lima tahun pula memperoleh sekurang-kurangnya 12 hari manakala mereka yang berkhidmat lebih lima tahun perlu diberikan cuti sekurang-kurangnya selama 16 hari.

Memandangkan tiga daripada 13 cuti umum yang digazetkan iaitu Hari Keputeraan Nabi Muhammad pada 5 Februari, Hari Raya Puasa pada 19 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September jatuh pada Ahad maka para pekerja mendapat tiga hari cuti lagi pada minggu bekerja.

Sementera itu bagi cuti di peringkat negeri mencatatkan antara tiga sehingga enam hari cuti. Pulau Pinang dan Sabah memperoleh bilangan cuti paling tinggi manakala Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan mencatatkan perolehan cuti paling rendah.

Para pekerja dijangka mengambil kesempatan dengan menggunakan beberapa cuti tahunan mereka untuk bercuti panjang sempena cuti negeri dan cuti umum diikuti dengan Tahun Baru Cina yang jatuh pada 23 Januari.

Ini termasuk Hari Wilayah pada 1 Februari, Hari Keputeraan Nabi Muhammad pada 5 Februari dan Thaipusam pada 7 Februari.

Majikan yang tidak berpuas hati telah menyuarakan bahawa keadaan ini hanya menjejaskan produktiviti mereka ekoran kos yang tinggi dengan kekurangan tenaga kerja.

Pengerusi Jawatan Kuasa Kecil dan Sederhana Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia, Tan Sri Soong Siew Hoong berkata, beliau merasakan cuti umum yang jatuh pada Ahad tidak perlu digantikan dengan Isnin.

Pengarah Eksekutif Persekutan Majikan Malaysia, Shamsuddin Bardan berkata, syarikat-syarikat tidak dapat beroperasi pada tahap optimum sekiranya ramai pekerja mengambil cuti.

Artikel Sebelum

Artikel Lain