suria

Beri Lebih Perhatian Kepada Isu Tekanan Mental Di Tempat Kerja

KUALA LUMPUR: Isu berkaitan kesihatan mental di tempat kerja perlu diberi lebih perhatian agar masalah seperti tekanan, keganasan, kemurungan dan bunuh diri dapat dielakkan, kata anggota Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental, Tan Sri Lee Lam Thye pada Isnin.

Beliau berkata langkah-langkah segera perlu diambil untuk menangani masalah kesihatan mental yang melibatkan pekerja, majikan serta pihak berkuasa.

"Promosi dan peningkatan kesihatan mental di kalangan rakyat Malaysia dari semua golongan umur perlu diberi keutamaan dan dijadikan sebagai agenda utama kesihatan nasional mengenai isu-isu kesihatan yang perlu ditangani pada tahun ini.

"Pengabaian faktor kesihatan mental dan psikososial di tempat kerja bukan sahaja merugikan pekerja tetapi juga memberi kesan secara langsung terhadap kecekapan, keberkesanan dan hasil sesuatu perusahaan," katanya dalam satu kenyataan. Beliau mencadangkan kemudahan perlindungan insurans terhadap mana-mana individu yang menghidap penyakit mental memandangkan skim insurans pada masa ini masih tidak melindungi mereka.

Selain itu katanya, ibu bapa atau saudara mara yang menjaga pesakit mental juga perlu diberikan pengecualian cukai.

"Syarikat swasta pula boleh diberi pengecualian cukai atau insentif lain sebagai galakan untuk memberi peluang pekerjaan kepada pesakit mental yang telah pulih," katanya.

Lee turut mencadangkan penubuhan satu Program Bantuan Pekerja yang boleh membantu mengelak dan mencegah sebarang masalah berkaitan kesihatan mental, tekanan dan kemurungan yang boleh menjejaskan prestasi kerja. - BERNAMA

Artikel Berikut

16 Rumah Kedai Hangus

Artikel Lain