suria

AMBANG 2012 DISAMBUT MERIAH

KUALA LUMPUR: Sekitar ibu negara dilimpahi keindahan cahaya percikan bunga api sebagai tanda tibanya tahun baru 2012 yang disambut meriah oleh segenap lapisan rakyat malam tadi.

Pertunjukan bunga api dipersembahkan kepada orang ramai sejurus selepas detik 12 tengah malam di beberapa lokasi yang mengadakan sambutan Ambang 2012 termasuk di Dataran Merdeka, KLCC dan Bukit Bintang.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, persembahan konsert yang menampilkan artis tempatan dan antarabangsa turut diadakan sementara menantikan saat-saat pengiraan detik tahun baru itu.

Tinjauan di Dataran Merdeka mendapati kira-kira 50,000 orang membanjiri kawasan itu sejak jam 6 petang lagi untuk meraikan Ambang Merdeka 2012 anjuran Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dengan kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, selain ditaja Kumpulan AmBank.

Acara itu diserikan dengan kehadiran Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dan isteri Datin Masnah Rais, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail serta Pengerusi AmBank, Tan Sri Azman Hashim.

Selain itu, orang ramai dihiburkan dengan konsert yang disertai penyanyi terkenal seperti Datuk M. Nasir, Jamal Abdillah, Faizal Tahir, Awie, Hujan dan Mizz Nina.

Pada majlis itu, Rais turut menyampaikan Anugerah 1Malaysia Tersohor kepada Skuad Harimau Muda yang mengharumkan nama negara di Sukan SEA Indonesia baru-baru ini.

"Ini adalah kebanggaan bangsa, KPKK memberi anugerah kepada mereka dan semoga mereka terus berjaya," katanya dalam ucapan ringkas pada majlis itu yang disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Beberapa pengunjung yang ditemui melahirkan kekaguman melihat jumlah kehadiran yang begitu ramai.

Penjawat awam Norhayati Abd Ghani, 30-an, berkata beliau terkejut melihat jumlah kehadiran orang ramai yang lebih besar berbanding tahun-tahun sebelumnya.

"Saya menghadiri sambutan Ambang Tahun Baru setiap tahun... tahun ini, jumlahnya lebih besar dari biasa," katanya.

Pelajar, Nur Awanis Azemi, 14, dari Cheras berkata beliau dan keluarganya tidak ketinggalan meraikan Ambang Tahun Baru setiap tahun di Dataran Merdeka.

"Kali ini keadaan lebih baik dan teratur... terima kasih kepada pihak keselamatan kerana menjalankan tugas dengan baik," katanya.

Pekerja swasta, Mohamad Sableh Asri, 48, yang pertama kali menyambut ketibaan tahun baru di Dataran Merdeka pula berkata beliau mahu merasai sendiri kemeriahan meraikannya.

"Sebelum ini saya tinggal di Kuala Kangsar dan berpindah ke Damansara pada awal tahun ini. Saya dan keluarga tidak pernah sambut tahun baru semeriah ini," katanya yang diiringi isteri serta lima orang anak.

Sementara itu, di KLCC, hampir 50,000 pengunjung termasuk pelancong asing membanjiri taman awam untuk meraikan Ambang Tahun Baru.

Pengunjung turut disajikan dengan persembahan memukau tarian Borneo (gabungan Sabah dan Sarawak), Bhangra (gabungan Pakistan dan India), Bounce Steppers (Etnik Kontemporari) dan kumpulan band TILU dari India, sebelum menyaksikan percikan bunga api tepat 12 tengah malam.

Sementara itu, di sekitar Jalan Bukit Bintang, sambutan Ambang Tahun 2012 meriah dengan kehadiran ribuan warga kota dan pelancong asing yang membanjiri Jalan Sultan Ismail seawal 6 petang.

Sambutan dimeriahkan dengan pelbagai acara pengiraan detik tahun baru yang meliputi beberapa lokasi di sekitar Bukit Bintang termasuk di BB Park, Fahrenheit88, Lot 10, Plaza Low Yat, Pavilion, Sungei Wang Plaza dan Starhill Gallery.

Tepat 12 tengah malam, pengunjung melaungkan 'Selamat Tahun Baru' sambil menyaksikan pertunjukan bunga api berwarna-warni.

Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) juga tidak ketinggalan menganjurkan Konsert Malam Apresiasi Sempena 2012 yang menampilkan program keIslaman di Dewan Serbaguna, Masjid Wilayah Persekutuan di sini.

Kira-kira 3,000 pengunjung termasuk Ketua Pengarah Ikim, Datuk Nik Mustapha Nik Hassan dihiburkan dengan persembahan artis serta tokoh terkenal termasuk Kumpulan Nasyid Saujana, Nowseeheart, Mohram, Hafiz Hamidun, UNIC, Rahmat Ekamatra, Voices of Ummi, Ustaz Zul Ramli Razali dan Profesor Madya Dr Lim Swee Tin.

Konsert itu diharap mampu memberi ruang untuk orang ramai menghayati hiburan yang mendidik jiwa selain menyediakan alternatif terbaik kepada umat Islam menyambut tahun baru.

Di IPOH, Menteri Besar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir menyertai ribuan rakyat menyambut ketibaan 2012 berhampiran Stadium Indera Mulia dengan menikmati pertunjukan bunga api yang menerangi langit malam.

Zambry turut melancarkan Tahun Melawat Perak 2012 dan unit polis pelancong.

Beliau menyeru rakyat Perak bekerjasama menampilkan kemesraan serta identiti masing-masing yang terbaik kepada pelancong dalam usaha meningkatkan sektor pelancongan negeri.

Katanya, sebagai permulaan kempen, seramai 81 anggota polis pelancong akan ditempatkan di 10 daerah di negeri itu.

Sambutan yang disertai kira-kira 5,000 orang itu turut dimeriahkan dengan persembahan penyanyi rock, Ramli Sarip dan pengacara terkenal AC Mizal.

Di MELAKA, percikan bunga api yang berwarna-warni, alunan muzik serta pertunjukan tarian kebudayaan menjadi agenda utama sambutan Tahun Baru 2012 di Dataran Menara Taming Sari, Banda Hilir.

Hampir 5,000 penduduk tempatan dan pelancong daripada pelbagai lapisan umur dan tempat, membanjiri pekarangan dataran itu bagi melakukan pengiraan detik tahun baru.

Sambutan dimeriahkan lagi dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob dan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Laungan "Selamat Tahun Baru" pengunjung berkumandang di udara sebaik saja jam tepat menunjukkan angka 12.

Pada saat itu juga, Dataran Taming Sari digegarkan dengan dentuman bunga api yang menghiasi dada langit, disusuli nyanyian Negaraku dan Melaka Maju Jaya.

Pada masa sama, seramai 1,000 penunggang motosikal 'Book of Record' dari seluruh negara berhimpun di kawasan berhampiran sempena sambutan Ambang Tahun Baru 2012.

Di PULAU PINANG, Ambang Tahun Baru disambut meriah di Padang Kota Lama dengan persembahan kebudayaan dan hiburan sebelum pertunjukan bunga api sebagai acara kemuncak.

Kira-kira 10,000 pengunjung berpeluang menyaksikan bunga api yang dilepaskan dari Bukit Bendera buat pertama kali. - BERNAMA

Artikel Berikut

Amanat PM Sempena Tahun Baru

Artikel Lain