suria

16 Rumah Kedai Hangus

SEREMBAN: Enam belas buah rumah kedai dan sebuah rumah hangus terbakar dalam satu kebakaran di Pekan Kampung Baru Batu 8 Labu dekat sini, pagi ini mengakibatkan kerugian kira-kira RM600,000.

Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 2 pagi tadi. Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Antara kedai yang musnah dalam kebakaran tersebut ialah tiga buah kedai kopi, masing-masing dua iaitu bengkel motosikal, kedai buku, gunting rambut dan kedai runcit serta sebuah kedai fotostat, restoran, bunga dan sebuah rumah kosong.

Penolong Pengarah Operasi negeri, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Ahmad Nizam Sapaiee berkata pihaknya bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan pada pukul 2.32 pagi.

Empat jentera, masing-masing dua dari Balai Bomba Seremban 2 dan dua dari Seremban dengan 25 anggota dikejarkan ke tempat kejadian dan api berjaya dikawal daripada merebak ke premis lain kira-kira setengah jam kemudian.

Punca kebakaran masih dalam siasatan.

Dalam kejadian berasingan, bilik setor sebuah gereja di pekan Nilai lama dekat sini musnah dalam kebakaran pada pukul 11.30 pagi ini.

Tiga jentera dari Nilai, Seremban 2 dan Mantin dengan 14 anggota dikejarkan ke tempat kejadian dan berjaya memadam api dari merebak kira-kira sepuluh minit kemudian.

Ahmad Nizam berkata seorang lelaki warga Nepal berusia 30-an yang cuba hendak mengeluarkan (menyelamatkan) barangan dalam setor berkenaan mengalami sesak nafas dan dikejarkan kesebuah klinik swasta untuk mendapat rawatan.

Katanya, ketika kejadian terdapat kira-kira 60 orang yang mengunjungi gereja itu, berada di luar gereja.

Kerugian dianggarkan RM500,000 dan punca kejadian sedang disiasat. - BERNAMA

Artikel Berikut

Amanat PM Sempena Tahun Baru

Artikel Lain