suria

Insiden Cemas Di Pusat Penempatan Warga Tua Kampung Tok Dor, Besut,

KUALA LUMPUR: Seramai 149 penduduk termasuk 73 warga emas di Pusat Penempatan Warga Tua Nurul Saadah, Kampung Tok Dor, dekat Besut, Terengganu menyambut kedatangan tahun baru dalam suasana cemas dan sedih apabila kampung mereka dilanda banjir kilat kira-kira jam 2 pagi tadi.

Banjir akibat limpahan Sungai Tok Dor yang bermula 12.30 pagi itu menyebabkan sebuah sekolah rendah, masjid, surau, beberapa kedai makan dan penempatan warga emas dimasuki air deras sedalam antara 1 hingga 2 meter.

Keadaan itu mengakibatkan kerosakan termasuk ke atas pagar sekolah, peralatan masjid, jalan raya dan kenderaan apabila ditenggelami air.

Tinjauan Bernama ke kampung itu pagi ini mendapati penduduk sibuk membaiki dan mengemas rumah masing-masing yang rosak ditenggelami air akibat banjir kilat itu.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Tok Dor, Zuhdi Ariffin, 48, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Masjid berkata, masjid itu dimasuki air sedalam 0.6 meter menyebabkan permaidani, almari, langsir dan cermin semuanya rosak belaka.

Beliau berkata, buat masa ini, 76 penduduk telah ditempatkan di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Anak Ikan yang terdiri daripada 14 keluarga, termasuk 42 kanak-kanak, manakala semua warga emas terbabit dipindahkan ke tingkat atas pusat penempatan berkenaan yang sebelum ini dijadikan surau.

Pengerusi Pusat Penempatan Warga Tua Nurul Saadah Harun Hussin berkata mereka terpaksa berjalan sendiri dengan memegang tali yang diikat untuk ke surau ekoran pihak berkaitan sukar ke situ untuk menghulurkan bantuan kerana jalan masuk ditenggelami air sedalam 2 meter.

"Melalui telefon mudah alih, saya hanya mampu mengarahkan mereka berjalan dengan memegang tali dan tangan bersama-sama ke tempat selamat," katanya sambil menambah penghuni pusat itu terpaksa menyelamatkan diri dengan duduk di atas kerusi sebelum air surut pada kira-kira 6 pagi tadi.

Sementara itu menurut portal kerajaan negeri Terengganu jumlah mangsa banjir di Besut dan Setiu yang berpindah ke pusat pemindahan banjir petang ini meningkat kepada 753 orangpetang ini berbanding 428 tengah hari tadi.

Jumlah pusat pemindahan yang telah dibuka di kedua-dua daerah berkenaan turut meningkat kepada sembilan iaitu tujuh di Besut dan dua di Setiu.

Jurucakap Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri pula berkata paras air Sungai Nerus di Kampung Langkap masih lagi berada di tahap bahaya setinggi 21.7 meter pukul 4 petang ini.

Sementara itu di JOHOR, jumlah mangsa banjir di Segamat telah menurun dengan hanya 75 orang daripada 14 keluarga masih berada di empat pusat pemindahan melibatkan Kampung Spangloi, Kampung Batu Badak, Kampung Sanglang dan Kampung Pogoh petang ini.

Menurut portal Majlis Keselamatan Negara, paras air Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat dan Sungai Bekok di Empangan Bekok, Batu Pahat masing-masing masih melebihi paras amaran pada 8.94 meter dan 17.16 meter.

Di KELANTAN, seramai 26 orang daripada enam keluarga di dua kampung di Pasir Puteh dipindahkan ke pusat pemindahan banjir berikutan hujan lebat yang diikuti angin kencang sejak malam tadi.

Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh Kaharuddin Yahya berkata mereka ditempatkan di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Kamil dan Sekolah Kebangsaan Bukit Awang.

"Ini berikutan rumah kediaman mereka di Kampung Wakaf Bunut,dan Bukit Awang di naiki air antara satu hingga dua meter," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, jumlah itu tidak termasuk seorang mangsa yang lumpuh dan dihantar ke Hospital Tengku Anis untuk rawatan.

Kaharuddin juga berkata, beberapa jalan ditutup kepada kenderaan ringan iaitu laluan dari Pasir Puteh ke Jerteh, Pasir Puteh ke Semerak dan Pasir Puteh ke Kota Baharu.

Seorang mangsa, Che Abdulah Che Mat, 72, berkata halaman rumahnya dinaiki air hampir setinggi paras dada pukul 3 pagi tadi.

Abdullah, yang lumpuh kedua-dua belah kaki, berkata beliau dan isterinya terpaksa berpindah apabila paras air memasuki rumah mereka sedalam antara 0.1 hingga 0.2 meter.

Sementara itu, Pejabat Pengairan dan Saliran Pasir Puteh ketika dihubungi berkata paras air di Sungai Semerak pada 10 pagi ini di tahap berjaga-jaga iaitu 2.4 meter.

Di PERLIS, kira-kira 270 mangsa daripada 73 keluarga ditempatkan di empat pusat pemindahan banjir iaitu di dewan orang ramai Kok Mak, Sekolah Kebangsaan Titi Tinggi, dewan Padang Melaka dan Sekolah Kebangsaan Batu Bertangkup sejak tengah hari.

Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu berkata meskipun paras air meningkat di utara Perlis, namun di Empangan Timah Tasoh ia masih bertahan di bawah paras bahaya iaitu sekitar 28.2 meter.

Artikel Berikut

Amanat PM Sempena Tahun Baru

Artikel Lain