suria

'Konserto Terakhir' Ganti 'Interlok' Mulai Tahun Depan

PETALING JAYA: Novel Konserto Terakhir karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain bakal menggantikan novel Interlok sebagai teks sastera untuk subjek Bahasa Malaysia Tingkatan Lima tahun hadapan.

Konserto Terakhir sebelum ini telah digunakan sebagai buku teks untuk pelajar Tingkatan Lima di Zon Dua dari tahun 2000 hingga 2010.

Presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan Uthaya Sankar SB berkata beliau gembira dengan langkah tersebut sambil menambah bahawa kumpulan itu tidak mempunyai isu dengan novel atau penulis.

"Pada hari pertama lagi kami berpendirian mencadangkan agar pindaan dibuat (novel edisi pelajar) atau novel ini ditarik balik sepenuhnya.

"Tetapi novel yang dicetak semula hanya mengandungi kira-kira 20 peratus pindaan daripada yang telah kita sarankan," katanya.

Pada Rabu, Bernama memetik Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud sebagai berkata bahawa Konserto Terakhir telah menjalani proses pemilihan dan disifatkan sesuai untuk pelajar sekolah menengah.

Laporan itu menambah bahawa penggantian melibatkan sekolah-sekolah di Zon Dua, yang meliputi Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor.

Ini berikutan keputusan kabinet pada 14 Disember untuk menggugurkan Interlok mulai tahun depan.

Interlok dijadikan teks wajib untuk komponen sastera mata pelajaran Bahasa Malaysia untuk pelajar Tingkatan Lima tahun ini tetapi pihak tertentu mendakwa buku itu mengandungi bahan yang menyinggung perasaan masyarakat India.

Pada bulan Mac, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan di Parlimen bahawa bahagian novel yang dianggap menyinggung perasaan masyarakat India sama ada akan berubah atau digantikan dengan terma-terma yang lebih diterima.

Artikel Berikut

Artikel Lain