suria

Liwat II: Nasib Anwar Diputuskan 9 Januari

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi akan membuat keputusan pada 9 Januari depan berhubung kes Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berdepan pertuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan tiga tahun lepas.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menetapkan tarikh itu selepas peguam utama Anwar, Karpal Singh dan Peguam Cara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden, yang mengetuai pasukan pendakwaan, menamatkan penghujahan mereka di akhir kes pembelaan.

Anwar, 64, mengaku tidak bersalah pada 7 Ogos, 2008, meliwat Mohd Saiful, 26, di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara di sini antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Ini pertuduhan liwat kedua yang dihadapi Anwar. Pada 2000, beliau didakwa meliwat pemandu Azizan Abu Bakar.

Anwar disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh Makkamah Tinggi, tetapi empat tahun kemudian Mahkamah Persekutuan menolak sabitan itu dan mengetepikan hukuman penjara. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Emas Ditahan Serang Doktor

Artikel Berikut

Artikel Lain