suria

Perhimpunan Agung Umno: Sistem Meritokrasi Jangan Sampai Jejaskan Peluang Pelajar Melayu

KUALA LUMPUR: Perwakilan Umno Johor pada Sabtu, menyarankan agar sistem meritokrasi untuk kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) disemak semula kerana didakwa lebih banyak merugikan daripada membawa kebaikan.

Mohd Tahir Mohd Taat yang juga Timbalan Ketua Umno Pagoh juga menambah, adalah tidak keterlaluan untuk mengatakan pelaksanaan sistem tersebut sebagai tidak adil kepada pelajar Melayu dan Bumiputera khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.

"Anak-anak bangsa kita perlu dibela. Sekiranya amalan ini diteruskan ia akan menyekat potensi anak-anak luar bandar," katanya semasa membahaskan usul agama, pedidikan dan sosial pada Perhimpunan Agung Umno di PWTC di sini.

Beliau juga mengingatkan supaya kerajaan tidak melupakan Fasal 153 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan hak keistimewaan Melayu dalam usaha mereka melakukan pelbagai transformasi dalam bidang pendidikan.

Mohd Tahir dalam perbahasannya juga turut menyatakan sokongan penuh kepada usaha kerajaan untuk memperkasakan Sekolah Teknik dan Vokasional yang berupaya membantu pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang tidak mendapat tempat di IPTA.

"Mereka ini yang kebanyakkan juga terdiri daripada anak-anak Melayu dan Bumiputera sebenarnya berpotensi untuk menyertai bidang-bidang kemahiran.

"Fenomena ini amat dibimbangi kerana ia akan meningkatkan kadar pengangguran di negara kita," katanya.

Beliau juga menyatakan sokongan terhadap tindakan tegas kerajaan memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) kerana ia telah terbukti menjejaskan peluang pelajar luar bandar selain mengikis kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa kebangsaan. Selain itu, Mohd Tahir juga menyarankan agar Kementerian Dalam Negeri meneruskan dan tidak melewat-lewatkan cadangan untk membina Muzium Polis di Bukit Kepong, yang pernah diserang oleh komunis diketuai Mat Indera sehingga menyebabkan kematian 21 anggota polis.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain