suria

11 Bulan Tadbir Perak, Pembangkang Hanya Lulus 1,092 Hak Milik Tanah

IPOH: Selama 11 bulan mentadbir negeri Perak, kerajaan pimpinan pakatan DAP-Parti Keadilan Rakyat (PKR)-PAS hanya meluluskan 1,092 hak milik tanah kepada rakyat berbanding sejumlah 3,047 hak milik sepanjang 2009 oleh Barisan Nasional (BN) apabila mengambil alih pentadbiran kerajaan pada Februari tahun itu.

Pengerusi Jawatankuasa Insfrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Air negeri Datuk Ramly Zahari berkata pada 2010, jumlah hak milik yang diluluskan adalah sebanyak 6,715.

"Ia menunjukkan kerajaan negeri pimpinan BN lebih banyak meluluskan hak milik tanah untuk rakyat iaitu lebih 10,000 untuk tempoh dua tahun," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Hasbullah Osman (BN-Temenggor) yang ingin tahu jumlah hak milik tanah yang diluluskan kerajaan pakatan semasa memerintah Perak pada persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri mempertimbangkan semua permohonan bagi mendapatkan hak milik tanah tertentu walaupun terdapat permohonan bertindih iaitu lebih daripada satu pemohonan terhadap sesebuah kawasan tanah.

Terdahulu semasa menjawab soalan Ramli Tusin (PAS-Gunung Semanggol), Ramly berkata semua permohonan itu dipertimbangkan tanpa mengira batasan agama, kaum atau ideologi politik serta diluluskan selepas dibuat saringan temuduga dan diputuskan oleh Jawatankuasa Pemilihan Tanah Daerah.

"Permohonan itu dipertimbangkan untuk diluluskan berdasarkan faktor antaranya guna tanah sekeliling tanah yang dipohon, kesesuaian tanah, latar belakang pemohon serta melihat perakuan jabatan teknikal," katanya.

Ramly berkata tiada undang-undang di negara ini yang menetapkan pihak yang berhak terhadap sesebuah kawasan tanah yang masih tiada pemilik kerana kesemua rakyat yang bertaraf wargananegara bebas untuk membuat permohonan hak milik tanah.

Bagaimanapun kawasan tanah adalah terhad sedangkan manusia semakin bertambah, maka keputusan permohonan hak milik tanah perlu dibuat berdasarkan kriteria tertentu, katanya menjawab soalan Mohd Zainudin Mohd Yusof (PAS-Lubuk Merbau).

"Dalam perkara ini, contohnya walaupun si A telah memohon lebih awal daripada si B, mungkin si B didapati lebih layak untuk diberi hak milik. Kita tidak boleh sumbat semua dalam lot tanah yang sama kecuali lot itu luas," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Wahabi Bukan Ajaran Sesat

Artikel Berikut

Artikel Lain