suria

Wahabi Bukan Ajaran Sesat

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK

KUALA LUMPUR: Kerajaan pada Rabu menegaskan tidak mengklasifikasikan ajaran Wahabi sebagai satu fahaman sesat hingga boleh menggugat akidah umat Islam.

Bagaimanapun Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, sekatan terhadap penyebaran ajaran Wahabi dibuat bagi mengelakkan berlakunya perbalahan antara umat Islam di negara ini.

"Setakat ini isu fahaman Wahabi adalah terkawal. Kerajaan berpandangan bahawa hal ini merupakan isu kilaf (kekeliruan) di kalangan ulama.

"Ingin ditegaskan bahawa pendirian kerajaan mengenai isu ini adalah jelas iaitu tidak sesuai diamalkan kerana dikuatiri akan membawa kepada perpecahan umat Islam," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat di sini.

Beliau menjawab soalan Mohd Nor Othman (BN-Hulu Terengganu) yang ingin mengetahui sejauh mana fahaman Wahabi meresap ke dalam masyarakat dan langkah yang diambil untuk mencegahnya.

Menurut Jamil Khir, keputusan berkenaan dibuat berpandukan hasil penelitian Majlis Fatwa Kebangsaan dan panel kajian akidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Keputusan mengenai kedudukan ajaran Wahabi memutuskan bahawa kumpulan yang mendokong pegangan Muhammad Abdul Wahab ini tidak terkeluar daripada ahli sunnah waljamaah.

"Namun apa yang mesti diatasi dan ditangani ialah isu kontroversi yang bersangkutan dengan masalah yang cuba dibangkitkan mereka," katanya.

Artikel Sebelum

Warga Emas Maut Dilanggar Bas

Artikel Lain