suria

47 Mangsa Banjir Di Setiu Masih Berada Di Pusat Pemindahan

KUALA TERENGGANU: Seramai 47 orang daripada 11 keluarga mangsa banjir dari Kampung Tasik Setiu yang dipindahkan pagi semalam masih berada di pusat pemindahan di balai raya kampung itu.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negera, negeri Terengganu berkata jumlah itu mungkin bertambah kerana masih ada mangsa banjir yang sedang dipindahkan.

Beliau berkata mangsa banjir di daerah Hulu Terengganu seramai 13 orang dan empat orang di Marang yang dipindahkan ke pusat pemindahan pagi semalam telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing malam Isnin.

"Ini berikutan air di kawasan rumah mereka telah surut," katanya ketika dihubungi Benama.

Beliau berkata hujan lebat berterusan kelmarin menyebabkan kawasan rendah dinaiki air dan berlaku banjir di daerah berkenaan.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri melaporkan paras air Sungai Nerus pagi ini melepasi paras bahaya.

Jurucakapnya berkata mengikut bacaan pada pukul 8 pagi ini, di Kampung Langkap paras air mencecah 21.53 meter (bahaya 21.5 meter) dan di Kampung Bukit 12.94 meter (bahaya 12 meter).

Bagaimanapun, katanya paras air di sungai-sungai utama di daerah lain masih berada di bawah paras biasa.

Keadaan cuaca di Terengganu pagi ini hujan renyai-renyai disusuli dengan angin kencang. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Wahabi Bukan Ajaran Sesat

Artikel Lain