suria

Skuad Negara Naik Barracuda Ke Stadium Gelora Bung Karno

JAKARTA: Pasukan bola sepak Malaysia berkemungkinan akan menaiki kereta perisai Barracuda untuk ke Stadium Gelora Bung Karno pada perlawanan akhir acara bola sepak Sukan SEA ke-26 Isnin, kata pengurus skuad negara, Datuk Hamidin Mohd Amin.

Beliau berkata keselamatan pemain adalah lebih penting dan langkah menaiki kereta perisai tersebut bukanlah asing buat skuad itu.

"Malah kita harap PSSI (Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia) dan polis dapat berbincang bagi memudahkan pasukan kita pergi dan balik kerana esok, persekitaran stadium pastinya akan sesak dengan sekitar 100,000 penyokong mereka yang hadir ke stadium," katanya.

Mengulas mengenai perlawanan akhir yang akan bermula pada pukul 7 malam Isnin waktu tempatan (8 malam waktu Malaysia), Hamidin berkeyakinan Malaysia mampu menundukkan tuan rumah di gelanggang mereka sendiri.

"Kita telah belajar dan mengambil pengalaman daripada perlawanan sebelumnya, bertemu Indonesia di peringkat Kumpulan A pada Khamis dan saya lihat pemain kita mempunyai semangat yang kental dan diharap mereka mampu pamerkan aksi yang terbaik dan mencipta kemenangan esok.

"Esok kita akan membuktikan bahawa Malaysia masih yang terbaik di Asia Tenggara," katanya.

Hamidin berkata Indonesia pastinya lebih tertekan pada final kerana pemainnya pasti mengharapkan kemenangan berganda di hadapan penyokong dan di tempat sendiri. - BERNAMA

Artikel Lain