suria

Pegawai Khas Husam Musa Terbunuh Dalam Kemalangan

KUALA KRAI: Pegawai Khas kepada Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri Datuk Husam Musa, terbunuh dalam kemalangan jalan raya melibatkan dua kenderaan di Kilometer 40 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, awal pag Jumaat.

Kamarulzaman Abdullah, 43, mati di tempat kejadian apabila kenderaan pacuan empat roda yang dinaikinya bertembung dengan kereta Perodua Viva, kira-kira pukul 2.30 pagi.

Dua rakannya, Roslan Mohd Zain, 39, pegawai di Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan Mohd Ridhuan Ilias, 30, pegawai Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri cedera dan dirawat di Hospital Kuala Krai.

Turut cedera ialah pemandu dan dua penumpang kereta perodua Viva iaitu Zaid Mohd Yassin, 43, adiknya Mohd Zulfatmi, 23, dan Abdul Koyum Saidi, 16. Mereka masing-masing dirawat di Hospital Kuala Krai, Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian dan Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Baharu.

Pengarah Pilihan Raya PAS Gua Musang Hussin Embong berkata ketika kejadian, Kamarulzaman bersama dua rakannya itu dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur selepas menyerahkan 'Amanat Tun Razak' kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen berhubung tuntutan bayaran royalti Kelantan.

Kamarulzaman, yang juga Exco Dewan Pemuda PAS Kelantan meninggalkan seorang balu dan seorang anak.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Saiful Bahri Abdullah mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain