suria

325 Orang Gelandangan Berdaftar Di Anjung Singgah

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah mendaftarkan 325 orang gelandangan di Anjung Singgah sehingga Oktober lepas.

Timbalan Menterinya Heng Seai Kie berkata daripada jumlah itu, 120 orang gelandangan telah diberi pekerjaan dengan majikan tertentu sejak ia ditubuhkan April tahun ini.

"Selain itu, golongan gelandangan yang layak, dibantu untuk berdikari dengan disalurkan bantuan kewangan bulanan mengikut skim bantuan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) sehinggalah mereka benar-benar berkeupayaan untuk menjalani kehidupan harian," katanya menjawab soalan Datuk Abdul Manan Ismail (BN-Paya Besar) pada Khamis.

Abdul Manan ingin tahu langkah JKM dalam memastikan peminta-peminta sedekah jalanan berstatus warganegara Malaysia diberikan bantuan sara hidup serta langkah berterusan untuk memastikan golongan ini terus berdikari.

Heng berkata golongan ini juga boleh dipertimbangkan pemberian bantuan geran pelancaran bagi memulakan projek perniagaan atau pertanian mengikut kesesuaian dengan bimbingan JKM. "Dalam hubungan ini, kementerian telah membuat permohonan lesen penjaja khas daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur kepada golongan ini yang berminat menceburi bidang perniagaan," katanya.

Katanya golongan warga emas berumur 60 tahun ke atas diberikan perlindungan di Rumah Seri Kenangan, manakala pengemis dan kutu rayau ditempatkan di Desa Bina Diri. "Kedua-dua golongan ini akan menjalani pemulihan dan latihan kerjaya bagi tempoh tidak melebihi tiga tahun seperti latihan vokasional, pertanian, kraf tangan, bimbingan agama dan juga rekreasi," katanya.

Beliau juga menjelaskan bahawa mereka akan diberikan rawatan perubatan dan penjagaan kesihatan serta bimbingan kaunseling. "Kita juga sentiasa menjalankan operasi dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia di mana sebanyak 541 operasi telah dijalankan dan daripada operasi ini, pengemis tempatan yang ditangkap tahun 2010 ialah 1,181 orang dan pengemis asing ialah 253 orang," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain