suria

123 Majikan Gagal Carum KWSP Didenda Lebih RM100,000

KUALA LUMPUR: Sebanyak 123 majikan telah didenda dengan jumlah keseluruhan RM112,960 oleh mahkamah kerana gagal mencarum untuk pekerja mereka dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi suku tahun ketiga dari Julai hingga September tahun ini.

Bagaimanapun, kadar majikan tidak mencarum kepada KWSP untuk tempoh itu turun kepada 1.49 peratus berbanding 1.55 peratus pada suku sebelumnya dari April hingga Jun.

Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP Nik Affendi Jaafar dalam satu kenyataan pada Khamis berkata penurunan kadar itu adalah hasil usaha berterusan KWSP dalam meningkatkan kesedaran dan memantapkan penguatkuasaan bagi memastikan majikan menunaikan tanggungjawab membayar dengan tepat caruman KWSP untuk kesejahteraan persaraan pekerja mereka.

"KWSP memandang serius perkara ini kerana kegagalan untuk membayar caruman bulanan merupakan satu kesalahan berat di sisi undang-undang.

"KWSP tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap majikan untuk melindungi kepentingan ahli," katanya.

Mahkamah telah mengenakan denda di antara RM3,000 dan RM5,000 untuk kesalahan di bawah Seksyen 43(2) Akta KWSP 1991 yang mewajibkan majikan membayar caruman sebelum atau pada 15 haribulan setiap bulan.

Menurut Nik Affendi, di antara majikan yang didapati bersalah ialah Mine Tech Global Services (M) Sdn Bhd dari Terengganu dikenakan denda tertinggi sebanyak RM5,000 diikuti Kencana Simfoni Sdn Bhd dari Sarawak didenda RM3,500.

Rozila Fz Enterprise dari Johor dan tiga syarikat dari Selangor iaitu At-Tamimi International Islamic School, Innergia Group International Sdn Bhd dan Paisley Consulting Sdn Bhd masing-masing didenda RM3,000.

"Pada suku tahun ketiga itu juga, KWSP telah memfailkan 239 kes sivil terhadap pengarah syarikat dan 792 kes jenayah ke atas majikan yang tidak mencarum.

"Selain itu KWSP telah mengemukakan nama 334 pengarah syarikat kepada Jabatan Imigresen bagi menahan mereka daripada meninggalkan negara sebelum menjelaskan tunggakan caruman seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 39 Akta KWSP 1991," katanya.

Tambah beliau, dalam usaha meningkatkan kesedaran majikan mengenai peranan majikan untuk membayar caruman bagi pekerja, KWSP akan mengadakan kempen pengiklanan bertajuk "Kewajipan Setiap Majikan 12 Bulan Setahun" di akhbar-akhbar selama dua minggu dari 14 hingga 30 November ini.

"Kempen ini bertujuan bukan sahaja untuk mengingatkan majikan membayar caruman tepat pada masanya tetapi juga memastikan majikan mengemukakan maklumat pekerja dengan betul supaya caruman yang dibayar boleh dikreditkan segera ke dalam akaun ahli," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain