suria

Polis Tumpaskan Sindiket Curi Kenderaan Di Batu Pahat

JOHOR BAHARU: Polis Johor percaya berjaya menumpaskan kumpulan curi kenderaan selepas menahan tiga lelaki tempatan di Batu Pahat pada Selasa.

Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Ismail Yatim berkata ketiga-tiga lelaki berumur 26 tahun itu ditahan oleh anggota polis rondaan di Jalan Bindu pada 10.10 pagi.

"Pemeriksaan lanjut mendapati kereta yang dinaiki mereka itu dilaporkan hilang di Taman Pelangi di sini," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini, Rabu.

Beliau berkata siasatan mendapati dua daripada lelaki terbabit mempunyai tiga rekod mencuri kenderaan di Batu Pahat tahun ini dan dua kes ugutan jenayah di bandar yang sama pada 2007.

Katanya, ketiga-tiga lelaki berkenaan direman hari ini dan disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Dalam kes lain, Ismail berkata polis menumpaskan kumpulan pecah rumah dan curi kereta di Batu Pahat selepas menahan seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki rakyat Singapura, di Jalan Kluang, Jumaat lepas.

Beliau berkata penahanan dibuat selepas polis menerima satu laporan mengenai kejadian pecah rumah dan curi kereta dari seorang wanita di Taman Bintang, Parit Raja, pada 4.25 pagi hari yang sama.

"Pemeriksaan lanjut pada kedua-dua lelaki itu dan kereta yang dinaiki mereka menemui lima biji pil dipercayai dadah, enam anak kunci dan beberapa peralatan lain yang dipercayai digunakan untuk melakukan pecah rumah dan curi kereta," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain