suria

Seksualiti Merdeka Diharamkan

KUALA LUMPUR: Polis telah mengharamkan program Seksualiti Merdeka yang mempromosikan seks bebas, berkuatkuasa serta-merta berikutan bantahan meluas pelbagai pihak.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata, mereka tidak menyekat hak asasi manusia dan kebebasan bersuara.

"Namun jika program itu menimbulkan rasa kurang senang di kalangan orang ramai, ia mungkin mewujudkan keadaan huru-hara dan mengancam ketenteraman awam.

Program Seksualiti Merdeka yang diadakan sejak 2008 dilaporkan menyediakan pelbagai aktiviti sehingga Ahad depan di Galeri Annexe di sini.

Bertemakan 'Queer Without Fear', antara program yang diadakan termasuk bengkel, pelancaran buku, pameran seni dan persembahan.

Khalid menggesa orang ramai supaya tidak menghadiri program itu kerana mereka boleh ditahan untuk soal-siasat.

Pengharaman itu dilakukan selepas menerima aduan dan bantahan daripada pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi agama Islam dan bukan Islam.

"Kami perlu bertindak dengan segera," katanya pada sidang media di sini Khamis.

Khalid berkata dua laporan telah dibuat pada Selasa terhadap penganjur program itu.

Katanya, polis telah memulakan siasatan dan mengenal pasti sekurang-kurangnya 10 penganjur program itu termasuk bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk S.Ambiga.

"Kes tersebut akan disiasat dibawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 27A(1)(c) Akta Polis 1967.

Tambahnya, pihak penganjur tidak pernah memohon permit untuk mengadakan program tersebut.

Seksualiti Merdeka menyifatkan program itu sebagai satu-satunya pesta di Malaysia yang mempertahankan hak golongan yang mengamalkan hubungan sejenis.

Ia dianjurkan oleh pelbagai NGO, artis dan aktivis.

Pengasas Seksualiti Merdeka, Pang Khee Teik berkata, dia kecewa dengan pengharaman program itu.

"Kami hanya meminta supaya diterima oleh masyarakat. Malah program ini bukan perarakan gay," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain