suria

Anggota Perkhidmatan Awam Perlu Berfikir Di Luar Kotak Kebiasaan - KSN

SEREMBAN: Penjawat awam diingatkan supaya membudayakan pemikiran di luar kotak kebiasaan dan mereka perlu mempunyai kekuatan daya imaginasi, inovasi dan kreativiti dalam menyampaikan perkhidmatan.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Hassan berkata hanya dengan cara ini, penjawat awam akan sentiasa berada di depan dalam usaha meningkatkan daya saing serta memastikan perkhidmatan awam terus relevan dan unggul.

"Kemajuan dunia masa depan akan diterajui oleh kekuatan daya imaginasi, inovasi dan kreativiti seperti yang telah dibuktikan oleh pengasas Apple Steve Jobs, yang dianggap oleh sesetengah pihak sebagai 'Leonardo da Vinci' era moden.

"Idea dan keunikan dibantu oleh kecanggihan teknologi merupakan wahana utama dalam memantapkan sistem penyampaian perkhidmatan," katanya semasa berucap pada majlis penyampaian Anugerah Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Perkhidmatan Awam peringkat kebangsaan ke-28 di sini malam Rabu.

Sidek berkata anggota perkhidmatan awam perlu terus "berkarya" dengan inovatif dan kreatif bagi "menghadiahkan" pelanggan mereka suatu pengalaman yang menggembirakan apabila berinteraksi dengan pegawai dalam perkhidmatan awam. Beliau berkata penjawat awam juga perlu memberi "kejutan gembira" kepada pelanggan dengan hadiah perkhidmatan yang responsif, mesra, cekap serta mudah yang berteraskan ketelusan dan integriti.

Sidek turut mengingatkan penjawat awam agar tidak "lena diulit mimpi" dengan menganggap telah berjaya melaksanakan peranan sedia ada kerana perkhidmatan awam boleh "rebah" akibat kelalaian dan sikap berpuas hati itu.

"Banyak ruang dan peluang, cara dan mekanisme yang boleh digunakan bagi meningkatkan tahap penyampaian perkhidmatan.

"Apa yang penting ialah output, dan lebih penting hasil yang hendak dicapai," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain